KUALA LUMPUR — Seorang lelaki berusia 46 tahun menjadi mangsa sindiket pelaburan yang tidak wujud dan kerugian sebanyak RM333,600 selepas diperdaya oleh seorang wanita dikenali sebagai Eva untuk melabur dalam ‘Bain Online’.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lelaki terbabit yang juga seorang ejen insurans, berkenalan dengan Eva di sebuah medan selera di Taman Canning, Ipoh pada 15 Oktober lepas.
“Mangsa berkenalan dengan seorang wanita bernama Eva yang berperanan sebagai pentadbir satu kumpulan WhatsApp, melalui pautan di Facebook.
“Melalui medium media sosial itu, suspek (wanita) telah memperdaya pengadu untuk membuat pelaburan menggunakan aplikasi ‘Bain Online’ yang tidak wujud,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Yusri berkata, sepanjang tempoh 19 Oktober sehingga 12 Disember lepas, lelaki itu telah melakukan 12 transaksi ke dalam lima akaun berbeza melibatkan nilai keseluruhan RM333,600.
Beliau memberitahu, mangsa mula menyedari ditipu selepas suspek memintanya membuat bayaran komisen sebanyak RM57,400 terlebih dahulu sebelum wang keuntungan daripada pelaburan itu diserahkan.
Kes itu, katanya disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis ingin memberi peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan menerusi media sosial. Orang ramai boleh menghubungi talian Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) 997 jika menjadi mangsa penipuan skim pelaburan yang tidak wujud.
“Sebarang pertanyaan mengenai jenayah penipuan, mereka boleh menghubungi CCID Infoline di talian 013-2111222 (WhatsApp sahaja) yang beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam,” katanya. – 22 Disember, 2023