Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Wanita maut ditetak belakang leher dan bahu, suspek terjun jambatan Pulau Pinang | Scoop

Wanita maut ditetak belakang leher dan bahu, suspek terjun jambatan Pulau Pinang

Polis menjejaki suspek sebelum menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun

11:13 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga tempatan maut dipercayai ditetak dengan parang oleh seorang lelaki di hadapan sebuah premis di Jalan Raja Uda, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.10 pagi, mangsa berusia 42 tahun parah di belakang leher dan bahu.

“Pasukan forensik dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, turut hadir di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Ketika menjalankan pemeriksaan di kawasan itu, didapati ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian berkenaan, selain terdapat saksi melihat insiden terbabit.

“Dalam kejadian itu, mangsa ditetak di bahagian belakang leher dan bahu kiri dengan parang sehingga mengalami kecederaan parah. Mangsa dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum dilaporkan meninggal dunia pada jam 11.58 pagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Asri berkata, polis menjejaki suspek sebelum menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun.

“Selepas kejadian itu, suspek didapati terjun dari Jambatan Pulau Pinang tetapi berjaya diselamatkan orang awam dan diserahkan kepada polis. Suspek kini menerima rawatan di hospital berhampiran,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu, boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Nasrina Darus melalui talian 04-5762222 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek didakwa melarikan diri dengan menunggang motosikal apabila orang awam mengejarnya selepas melihat kejadian itu.

Bagaimanapun, motosikal ditunggangnya kemudian diletakkan di bahu jalan atas jambatan terbabit, sebelum suspek dikatakan terjun.

Berdasarkan paparan rakaman video yang tular, lelaki yang diselamatkan itu dipercayai cuba terjun sekali lagi dari bot nelayan ketika dalam perjalanan menghala ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban, namun tidak berjaya. – 19 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related