PUCHONG – Usaha untuk melencongkan laluan air di kawasan runtuhan tanah di Taman Wawasan di sini sedang diusahakan pihak berkuasa bagi mengelak memberi kesan kepada pergerakan tanah.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalagan berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sedang melihat cadangan untuk melencongkan laluan air terbabit ke kawasan lain.
“Di kawasan berlaku tanah runtuh ada laluan air di situ. Difahamkan laluan itu memang sudah ada sebelum ini dan mungkin laluan itu tersekat dengan tanah dan sebagainya. Ini membentuk kolam takungan (ponding) di kawasan sekitar.
“JMG akan melihat keadaan ini dan ada cadangan untuk mengalirkan ‘laluan air’ ini ke arah lain atau ke sungai berhampiran,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan di kawasan runtuhan hari ini.
Selain itu, Anbalagan berkata, kerja pemasangan cerucuk besi di kawasan runtuhan dijangka mengambil masa dua minggu.
“Semalam 46 cerucuk besi ditanam, hari ini penambahan enam lagi. Kerja pemasangan cerucuk ini memerlukan dua minggu bergantung keadaan cuaca dengan pemasangan sepanjang 150 meter (m) membabitkan keseluruhan 375 cerucuk besi.
“Oleh kerana ada gangguan satu tiang elektrik yang tumbang di lokasi runtuhan, jadi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) datang untuk memotong wayar supaya kerja pemasangan cerucuk besi ini lebih sempurna,” katanya.
Tambah beliau, setakat pemantauan pihak berkuasa hari ini, tiada pergerakan tanah yang signifikan dikesan berlaku.
“Cuma masih ada beberapa takungan air di bawah (tanah) yang kita khuatir sekiranya cuaca kembali hujan, kemungkinan akan ada pergerakan tanah.
“JMG akan meneruskan pantauan menggunakan dron bagi melihat keadaan tanah dan sama ada berlaku retakan di rumah di sini, begitu juga Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ),” katanya.
Anbalagan juga berkata, setakat ini hanya sebuah daripada empat kenderaan dialihkan daripada lokasi kejadian.
“Kita hanya sempat mengalihkan sebuah Honda City, ada tiga lagi kenderaan yang tertimbus,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini 29 penghuni di deretan sembilan unit rumah yang terjejas sudah berpindah.
“Di satu lagi deretan rumah dianggap masih selamat, namun kerana pemotongan sumber air mereka secara sendiri berpindah ke rumah saudara. Tetapi ada juga yang masih menetap (di sana) lagi,” katanya.
Kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/14 itu yang berlaku pada jam 7.30 malam Sabtu lalu, turut menyebabkan empat kenderaan tertimbus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.
Susulan kejadian itu, seramai 29 penghuni di sembilan rumah teres di Taman Wawasan Puchong diarah berpindah atas faktor keselamatan. – 18 Disember, 2023