KUALA LUMPUR – Tahun 2023 menyaksikan banyak kontroversi panas berlaku dalam industri hiburan tanah air bermula dari awal tahun sehinggalah penghujung.
Dari kisah rumah tangga, orang ketiga dan kes mahkamah semuanya menjadi berita hangat yang menjadi tumpuan pembaca dan netizen sepanjang tahun.
Scoop menyenaraikan 10 berita kontroversi yang berlaku sepanjang 2023:
Kes Penceraian Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana gara-gara orang ketiga
Tahun 2023 dibuka dengan kisah pergolakan rumah tangga pengarah sensasi, Syamsul Yusof bersama Puteri Sarah Liyana. Pada Januari, Syamsul mendedahkan dia telah berkahwin dengan Ira Kazar. Disebabkan itu, Puteri Sarah memfailkan penceraian dan kes berlangsung di mahkamah sehingga Jun di mana akhirnya Syamsul dan Sarah sah bercerai talak satu.
Sophia Albarakbah dikatakan menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Aliff Aziz dan Bella Astillah
Kecoh apabila Bella Astillah mendedahkan suaminya diganggu oleh pelakon cantik yang semakin meningkat naik iaitu Sophia Albarakbah sewaktu mereka terlibat dengan penggambaran sebuah drama bersiri. Bella turut mendedahkan mesejnya bersama Sophia di Instagram. Disebabkan kontroversi itu, Aliff Aziz membuat keputusan untuk tidak lagi berlakon bersama Sophia di masa akan datang.
Fyna Jebat dedah sudah jadi isteri kedua Zainal Abidin Hassan
Penyanyi yang juga adik kepada Ayda Jebat ini mengejutkan ramai apabila mendedahkan sudah bergelar isteri kedua kepada bekas pemain bola sepak dan jurulatih, Zainal Abidin Hassan. Sewaktu masih sedang bertanding dalam program Famili Duo 2, Fyna dikatakan diserang oleh madunya di sebuah kedai mamak di Shah Alam. Akhirnya selepas beberapa bulan, Fyna dan Zainal bercerai talak satu.
Hafidz Roshdi tumbuk muka isteri, jalin hubungan dengan kekasih lama
Pelakon Hafidz Roshdi antara nama yang menjadi bualan ramai tahun ini selepas dikatakan menjalin hubungan dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Athira Yuhada. Lebih parah, dia didakwa telah menumbuk wajah isterinya iaitu Syuhada sehingga mengalami kecederaan. Hafidz juga diminta oleh mahkamah untuk mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia. Terbaru, pada Sabtu lalu, Hafidz mengumumkan telah berkahwin dengan Athira yang merupakan cinta pertamanya.
Penceraian mengejutkan Diana Danielle dan Farid Kamil
Pasangan ini mengejutkan ramai apabila berita mengenai rumah tangga mereka yang sedang bergolak sehingga Diana memfailkan penceraian menjadi tajuk utama akhbar. Diana memfailkan penceraian selepas dia dan Farid dikatakan melalui perbalahan yang panjang dan tidak lagi boleh hidup bersama. Farid juga dilihat cuba menawan kembali hati isterinya dengan membeli sebuah kereta dan menggantikan cincin perkahwinan yang telah hilang. Namun usahanya gagal. Pasangan ini bercerai talak satu pada Ogos lalu tetapi telah kembali rujuk selepas sebulan demi dua anak mereka.
Isu rumah tangga ND Lala, Fauziah Sarman
Kes penceraian yang melibatkan penyanyi veteran, ND Lala bersama Fauziah Sarman yang merupakan bapa dan ibu kepada penyanyi Shila Amzah ini turut mendapat perhatian ramai selepas dia dikatakan telah berkahwin lain dengan sahabat baik anaknya sendiri. ND Lala juga dikatakan sudah lama tidak pulang ke rumah sejak berkahwin lain. Menurut Fauziah, dia telah menerima lafaz cerai melalui mesej bersuara yang dihantar oleh ND Lala kepadanya pada 2 Ogos. Pada 5 September, mahkamah memutuskan bahawa lafaz cerai itu adalah sah.
Syafiq Kyle dan Mimi Lana batal pernikahan
Tinggal seminggu sahaja lagi sebelum pasangan sama cantik sama padan ini diijabkabulkan, tiba-tiba Mimi Lana mengumumkan rancangan perkahwinan bersama tunangnya iaitu Syafiq Kyle dibatalkan pada Ogos lalu. Mimi juga dilihat telah membawa diri ke London. Kedua-dua mereka bertindak mengunci mulut dan tidak menjawab sebarang pertanyaan media. Namun sejak kebelakangan ini, mereka berdua dilihat kembali mesra dan dikatakan dalam persediaan untuk berkahwin.
Pertelingkahan Shila Amzah bersama adik-beradiknya
Baru sahaja berkahwin buat kali kedua bersama pempengaruh, Ubai, tiba-tiba nama Shila Amzah kembali panas selepas adik-adiknya mendedahkan mereka telah dihalau oleh Shila dari rumah banglo yang terletak di Hulu Langat. Masing-masing dilihat memberi kenyataan balas di akaun media sosial masing-masing. Shila turut mendedahkan selama ini wangnya dikawal oleh ibu dan bapanya. Malah adik lelakinya mengugut untuk memukulnya. Lebih mengejutkan apabila Shila mendakwa kekasih adiknya turut tinggal bersama di dalam rumah itu. Kini kesemua mereka dikatakan telah keluar dari rumah berkenaan termasuklah ibunya.
Neelofa sedia tamatkan perang dingin bersama Fazura
Selepas lebih dari 11 tahun dikatakan berperang dingin, selebriti dan usahawan terkenal, Noor Neelofa berkata, dia sedia bertemu Fazura dan berdamai kerana sudah letih apabila sering menjadi sasaran netizen yang melaga-lagakan mereka. Menurut Neelofa, dia dan Fazura masing-masing sudah berkeluarga dan fokus dengan kehidupan masing-masing.
Siti Nordiana dan lima sekawan bermaaf-maafan
Kes saman fitnah sebanyak RM2.5 juta yang difailkan Siti Nordiana terhadap lima rakannya diselesaikan secara baik selepas kesemua mereka sepakat untuk saling bermaaf-maafan. Siti Nordiana sebelum ini mendakwa reputasinya terjejas gara-gara sesi secara langsung yang dilakukan oleh lima rakannya termasuk Lan Solo, Sheila (isteri Lan), Syura Badron, Sama dan Aida. – 18 Disember, 2023