Sorotan 2023: 15 selebriti tempatan meninggal dunia, rata-rata kerana sakit jantung dan paru-paru

Mael XPDC, Ridzuan Hashim serta Badrul Muhayat, antara nama-nama besar dalam industri seni yang pergi, ‘meninggalkan’ bakat yang berbekas di hati peminat

Tahun 2023, kita telah kehilangan 15 selebriti tempatan dan ada di antaranya merupakan beberapa nama besar di dalam dunia seni tanah air, misalnya Allahyarham Datin Paduka Julie Sudiro, Mael XPDC, Ridzuan Hashim, Badrul Muhayat dan Tia Jinbara. - Gambar Instagram/Facebook, 16 Disember, 2023

KUALA LUMPUR – Saban tahun, dunia hiburan tanah air pastinya dikejutkan dengan kehilangan anak-anak seni popular, berbakat mahupun yang bergelar legenda.

Ada di antara pemergian selebriti ini disebabkan penyakit yang dihidapi dalam tempoh lama dan ada juga yang pergi tanpa dijangka akibat penyakit yang datang secara mengejut.

Mael XPDC, Ridzuan Hashim serta Badrul Muhayat, antara nama-nama besar dalam industri seni yang pergi, ‘meninggalkan’ bakat yang berbekas di hati peminat.

Namun, rata-rata selebriti yang meninggal dunia adalah disebabkan serangan jantung serta penyakit yang berkaitan dengan paru-paru.

Scoop menyoroti 15 selebriti tanah air yang telah meninggalkan kita semua pada tahun ini. Semoga, Allah SWT mengampunkan dosa-dosa mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah.

Suhaimi Mohd Saad (21 November 2023)
Bekas ahli kumpulan nasyid, In-Team, Mohd Suhaimi Mohd Saad, 43, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru akibat jangkitan kuman pada paru-paru, kira-kira jam 7.42 malam.

Berita pemergian Suhaimi itu disampaikan kumpulan nasyid Inteam di laman rasmi Facebook dan Instagram mereka.

Sebelum itu, Suhaimi telah ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSI selepas mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Suami kepada Ina Naim ini juga dilaporkan sudah beberapa bulan batuk berpanjangan dan cirit-birit sehingga berat badannya turun mendadak.

Tia Jinbara (8 November 2023)
Pemergian bekas vokalis kumpulan Jinbara, Tia memang cukup memeranjatkan kerana sebelum ini dia tidak pernah dilaporkan menghidap sebarang penyakit serius.


Tia atau nama sebenarnya, Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Shah Alam, kira-kira jam 9.17 malam pada 8 November 2023.

Terkenal dengan lagu Farhana: Puteri Bumi Kenyalang, Tia yang pernah menjadi finalis program Gegar Vaganza Musim 4 disahkan meninggalkan dunia akibat kanser hati selepas mengadu sakit perut sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital.

Penyanyi rock bersuara tinggi ini meninggalkan seorang balu, Suzan Ahmad yang juga bekas wartawan Berita Harian dan tiga anak tiri.

Jepp Saly (6 November 2023)
Penyanyi, pelakon dan penerbit drama, Mohd Hanafiah Saly atau lebih dikenali sebagai Jepp Saly meninggal dunia di kediamannya di Bukit Beruntung, Rawang akibat kanser hati, sekitar jam 8.20 malam. Beliau juga merupakan salah seorang Exco Persatuan Seniman Malaysia.

Badrul Muhayat (28 Oktober 2023)
Tiada siapa yang menyangka hero filem Azizah The Legend arahan Arief Karmahani ini akan pergi menyahut seruan Ilahi.

Badrul Muhayat Ahmad Jailani, 55, bagaimanapun mengejutkan industri apabila meninggal dunia dalam tidur di sebuah homestay di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam.

Pemergian pelakon yang juga usahawan itu disedari isterinya, Norhayati Zulkapli sewaktu mengejutkannya dari tidur kira-kira jam 10.50 pagi.

Allahyarham baru sahaja mengahwini Norhayati pada 18 April 2023 iaitu bersempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-55.

Bad Indigo (26 Oktober 2023)
Pemergian mengejut penyanyi dan anggota kumpulan Indigo, Bad dikongsi penyanyi Liza Hanim menerusi Instagram miliknya.

Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 48, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 7 malam sewaktu berada di tempat kerjanya di Ampang, Selangor.

Allahyarham yang menganggotai kumpulan Indigo bersama Shah iaitu suami Liza dilaporkan mengalami sesak nafas dan rebah secara tiba-tiba sebelum pulang ke rumah.

Majed Saleh (6 Oktober 2023)
Pelakon dan pengarah Majed Saleh menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi penyakit jantung. Allahyarham juga adalah pengarah kepada filem Syaitan Munafik yang bakal ditayangkan tahun ini selepas ia terperap selama 15 tahun.

Raymond Goh (11 September 2023)
Penyampai berita Nightline TV3, Raymond Goh atau nama Islamnya, Muhammad Zaman Goh Abdullah disahkan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta sekitar jam 10.40 pagi.

Sebelum itu, Raymond yang bertugas lebih 30 tahun dalam dunia penyiaran berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya pada 30 Ogos lalu.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 O’clock News, sebelum beralih kepada Nightline di TV3.

Mek Habsah (11 September 2023)
Penyanyi, pelakon dan pelawak popular era 1980-an, Mek Habsah dilaporkan menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Perubatan Respiratori (IPR) Kuala Lumpur, kira-kira jam 2.45 pagi.

Allahyarham Mek Habsah atau nama sebenarnya Habshah Bakar, 67, meninggal dunia akibat penyakit paru-paru. Berita pemergiannya itu dimaklumkan cucunya, Huraimi Hilman menerusi laman Facebook.

Fairuz Misran (8 September 2023)
Terkenal dengan perwatakan klon Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Fairuz Misran, 38, dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 1.30 tengahari.

Rohana Jalil (21 Jun 2023)
Awalnya, tiada siapa tahu apakah penyakit yang dihidapi penyanyi Rohana Jalil sewaktu dia mula dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Mei.

Namun pada hari pemergiannya, penyanyi era 1980-an yang terkenal dengan lagu Rayuanku ini mula dilaporkan berada dalam keadaan cukup kritikal dan semua ahli keluarganya diminta berkumpul di hospital sejak 5 petang.

Rohana Jalil atau nama sebenarnya, Dara Abdul Jalil, 68, kemudian dilaporkan menghembuskan nafas terakhir akibat kebocoran usus, kira-kira jam 11.33 malam. Berita pemergiannya itu dimaklumkan pengurusnya yang dikenali sebagai Jepun.

Mael XPDC (27 April 2023)
Pemergian vokalis XPDC, Mael ternyata memberi kesan yang cukup besar kepada dunia rock tanah air khususnya dalam kalangan peminat-peminat tegar kumpulan metal rock itu.

Bahkan, pemergian Mael juga dianggap tiada galang gantinya kerana keunikan vokalnya dalam membawakan lagu-lagu hit XPDC seperti Semangat Yang Hilang, Titian Perjalanan, Apa Nak Dikata, Selendang Merdeka, Hentian Ini, Ntahapahapantah serta banyak lagi.

Mael atau nama sebenarnya, Syed Ismail Syed Ibrahim, 55, menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Muar, kira-kira jam 5.30 malam.

Sebelum itu, Allahyarham Mael dikejarkan ke Hospital Muar selepas diserang penyakit asma sebelum disahkan meninggal dunia tidak berapa lama kemudian. Berita duka mengenai pemergian Mael disahkan sendiri anak perempuannya, Sharifah Irfatasha.

Jeff Hassan (5 Mei 2023)
Pelakon drama Gerak Khas, Jeff Hassan, 56, meninggal dunia di Hospital Segamat, Johor, akibat penyakit jantung, kira-kira jam 2.25 pagi.

Ridzuan Hashim (4 Mei 2023)
Pelakon, Ridzuan Hashim, 62, yang terkenal dengan watak ‘King’ dalam filem KL Gangster 2 arahan Syamsul Yusof meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 1.57 petang.

Ridzuan yang sudah tiga tahun menghidap masalah jantung dilaporkan rebah secara tiba-tiba sewaktu sedang bersarapan pagi. Arwah kemudian dikejarkan ke HKL, kira-kira jam 11 pagi sebelum disahkan meninggal dunia, selepas beberapa waktu.

Berita pemergian arwah Ridzuan dimaklumkan sendiri anak saudaranya, Iman Zulkarnain, 32, yang tinggal bersamanya. Sepanjang hayatnya, arwah tidak pernah mendirikan rumah tangga buat kali kedua selepas bercerai dengan pelakon dan pelawak, Didie Alias pada 2002.

Datin Paduka Julie Sudiro (5 Februari 2023)
Penyanyi dan penghibur jazz legenda tempatan, Datin Paduka Julie Sudiro, 80, meninggal dunia di Hospital UiTM Puncak Alam, akibat komplikasi paru-paru, kira-kira jam 9.30 malam.

Berita sedih mengenai pemergian Allahyarham dikongsikan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Datuk Freddie Fernandez.
 
Sewaktu hayatnya, Julie atau nama sebenarnya Raden Juariah Raden Sudiro pernah menyumbang bakti menjadi guru mengaji.

Kamsani Ismail (4 Januari 2023)
 
Pelakon drama bersiri popular Nur, Kamsani Ismail, 60, meninggal dunia di Hospital Melaka akibat komplikasi penyakit kencing manis dan jangkitan kuman pada jam 11.30 malam. – 16 Disember, 2023