Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Pemandu tular langgar motosikal dinaiki empat beranak didenda RM6,000 | Scoop

Pemandu tular langgar motosikal dinaiki empat beranak didenda RM6,000

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda

3:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang tular kerana memandu secara melulu sehingga melanggar empat sekeluarga yang menaiki motosikal di Lebuhraya Besraya, didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Fatin Dayana Jalil menjatuhi hukuman itu ke atas pereka grafik, Mohammad Harith Ismail, 22, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda. Dia bagaimanapun membayar denda tersebut.

Mohammad Harith didakwa memandu kenderaan itu di atas jalan raya dengan tidak cermat dan prihatin di Lebuhraya Besraya dari arah Sungai Besi menghala ke Balakong di sini pada 12.30 tengah hari, semalam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda minimum RM5,000 dan maksimum RM10,000 dan boleh dipenjara maksimum 12 bulan.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Fatin Dayana menasihati tertuduh supaya lebih berhati-hati dan berwaspada semasa memandu.

Timbalan Pendakwa Raya R.Harvind memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh boleh membahayakan pengguna jalan raya lain.

Mohammad Harith yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia tidak sengaja melakukan kesalahan tersebut.

“Saya bukan orang sini, saya tidak arif dengan selok-belok jalan (lokasi kejadian). Saya juga tidak melarikan diri atau meninggalkan mangsa di situ, sebaliknya terus hantar mereka ke hospital,” katanya.

Semalam, Bernama melaporkan tular di laman sosial rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan motosikal dinaiki dua orang dewasa bersama dua kanak-kanak dihimpit sebuah kenderaan yang menukar lorong secara tiba-tiba.

Hasil siasatan polis mendapati kesemua mangsa yang berusia lima hingga 34 tahun cedera ringan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Serdang. – 13 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related