KUALA LUMPUR – Penerbit Studio Kembara, Abdul Rahman Md Dali enggan mendedahkan nama pengarah filem kedua terbitan mereka, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang diterajui Fattah Amin.
Menurut Abdul Rahman, pendedahan mengenainya hanya akan dibuat sewaktu tayangan malam gala filem tersebut pada awal bulan depan.
“Saya tahu memang soalan ini akan diajukan kepada saya malam ini. Tapi, tunggulah. Saya akan dedahkan pada malam gala nanti.
“Apa yang boleh saya katakan filem ini menelan belanja lebih RM10 juta tetapi kurang daripada RM15 juta.
“Saya tidak dapat memberikan jumlah yang tepat kerana filem ini masih lagi melalui proses pos-produksi terakhir,” katanya pada Majlis Pelancaran Trailer & Muzik Tema Filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di sini, malam ini.
Katanya, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah adalah kesinambungan kepada Mat Kilau dan merupakan sebuah filem yang diinspirasikan daripada kisah benar.
“Bagaimanapun, hanya kerangkanya sahaja yang menggunakan fakta kisah benar dan selebihnya kita hasilkan dalam bentuk fiksyen.
“Memang kita ada pasukan yang membuat kajian mengenai tarikh-tarikh yang berkaitan dengan fakta sejarah Pendekar Awang. Ini kerana sebagai adik kepada Mat Kilau, dia juga punya kehebatan tersendiri,” katanya.
Jelas Abdul Rahman lagi, filem itu sudahpun mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) dan bakal ditayangkan di seluruh pawagam di negara ini pada 11 Januari 2024.
” Tapi, seandainya kita tak wajib tayang, kita tetap akan tayangkan filem ini pada tarikh tersebut, ” katanya lagi.
Lagu runut bunyi filem itu, Pendekar Awang adalah ciptaan dan nyanyian Faizal Tahir. – 12 Disember, 2023