Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Kes Zayn Rayyan: Terletak 50 meter dari lokasi penemuan mayat, polis periksa stor jiran lebih 2 jam | Scoop

Kes Zayn Rayyan: Terletak 50 meter dari lokasi penemuan mayat, polis periksa stor jiran lebih 2 jam

Unit anjing pengesan (K9) turut dibawa masuk untuk memeriksa stor berkeluasan 30X20 kaki persegi berkenaan

3:53 PM MYT

 

PETALING JAYA – Pemeriksaan pasukan forensik tertumpu lebih dua jam di sebuah stor yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi penemuan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, hari ini.

Menurut pemilik stor, Zamri Jaafar dan isterinya, Noraini Ahmad, pihak berkuasa meminta mereka membuka pintu stor terbabit pada jam 10 pagi, sebelum pasukan forensik tiba sekitar jam 12 tengah hari dan menjalankan siasatan yang selesai sepenuhnya pada kira-kira 2 petang.

Unit anjing pengesan (K9) turut dibawa masuk untuk memeriksa stor berkeluasan 30X20 kaki persegi berkenaan.

“Saya hari-hari masuk dalam stor. Stor ini memang berkunci dan dijadikan tempat penyimpanan motosikal.

“Anjing (unit pengesan) masuk dalam itu. Saya simpan enam motosikal dalam stor tersebut, khemah serta kerusi,” katanya ketika ditemui media di pekarangan kawasan berkenaan.

Zamri berkata, stor itu dibina sejak 10 tahun lalu bagi menyimpan peralatan dan alatan khemah untuk perniagaan katering diusahakannya bersama isteri.

Noraini Ahmad (gambar) dan suaminya Zamri Jaafar memiliki sebuah syarikat katering dan telah membina stor tersebut 10 tahun – Alif Omar/Scoop, 10 Disember, 2023

“Kami dulu buat perkhidmatan katering dan sekarang dah lama berhenti sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Di stor situlah kami simpan semua barang, termasuk enam motosikal milik saya dan ahli keluarga lain,” katanya.

Dia berkata, mereka suami isteri bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Ini (polis masuk stor) hanya untuk lengkapkan siasatan sahaja. Kami tak takut. Sebab polis beritahu tadi tiada apa-apa.

“Memang kami bersedia beri kerjasama agar kes ini dapat diselesaikan segera sehingga tertangkap pelaku kes ini,” katanya.

Polis turut mengesahkan sudah mengambil keterangan ibu bapa mangsa dan beberapa jiran terdekat bagi membantu siasatan.

Zayn Rayyan dipercayai dibunuh di tempat lain, bukan di lokasi mayatnya ditemui dan susulan penemuan itu, polis giat menjalankan siasatan terperinci bagi memburu suspek menerusi pelbagai kaedah – Alif Omar/Scoop, 10 Disember, 2023

Terdahulu, Zayn Rayyan disedari hilang sejak 12.30 tengah hari Selasa lalu, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan laporan polis.

Usaha pencarian dijalankan polis dengan dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan anjing pengesan Unit K9, membabitkan kawasan belukar dan longkang berhampiran dalam radius kira-kira 300 meter.

Dia kemudian ditemui tidak bernyawa sehari kemudian di kawasan anak sungai, berhampiran kediamannya.

Menurut kenyataan polis, sungai berkenaan terletak kira-kira 100 meter dari kawasan rumah kanak-kanak itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain pada sidang media berkata, Zayn Rayyan dipercayai dibunuh di tempat lain, bukan di lokasi mayatnya ditemui.

Susulan penemuan itu, polis giat menjalankan siasatan terperinci bagi memburu suspek menerusi pelbagai kaedah.

Kes terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – 10 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related