Penat layan kecaman toksik, Aishah enggan sertai pertandingan nyanyian lagi, ‘saya mahu tenang’

Aishah berkata, kecaman itu termasuk seolah-olah menyalahkannya kerana tua dan seperti ia adalah dosa

Datuk Aishah mengakui enggan menyertai pertandingan nyanyian pada masa depan kerana penat melayan kecaman berbentuk toksik. - Gambar Scoop/Ellyna Ali, 10 Disember, 2023

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan penghibur, Datuk Aishah mengakui enggan menyertai pertandingan berbentuk nyanyian lagi di masa akan datang kerana penat melayan kecaman berbentuk toksik netizen.

Aishah atau nama penuhnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 58, berkata, keputusan itu dibuat kerana dia mahu mendapatkan ketenangan hidup, dengan melakukan ibadat serta bersantai jika tiada tawaran menjayakan persembahan di mana-mana.

“Yang saya perasaan daripada kecaman itu, seolah-olah menjadi tua adalah suatu dosa, menunjukkan kita sudah tidak ada hormat lagi kepada golongan berusia.

“Kau dah tua, dah kedut dan bermacam-macam lagi. Kalau i nak lawan satu-satu, ia akan menambahkan lagi ‘stress’.

“Apa yang boleh saya lakukan adalah apabila duduk di dalam suasana dan keadaan penuh toksik, saya akan buang segala toksik itu setakat saya boleh dan duduk senyap sahaja,” katanya kepada Scoop.

Menurut Aishah, berbanding dahulu, penggunaan media sosial dapat membantu peminat berhubung secara terus dengan golongan selebriti.

“Tetapi pada waktu sama, ia memberi ruang kepada masyarakat untuk memperkatakan apa sahaja yang mereka mahukan.

“Sampai hilang adab dan rasa hormat. Mereka tidak fikir ini mak orang, tok orang atau apa. Mereka main bedal sahaja bila berikan komen. Dan, adakalanya mereka tak tahu pun cerita hujung pangkal.

“Kalau ikut hukum agama pun, kita tak boleh herdik orang atau maki orang. Apatah lagi, bila kita sendiri tidak berada dalam sesuatu kejadian,” katanya sewaktu ditemui di majlis Kempen Lose to Win anjuran Persatuan Sukan, Rekreasi dan Kesihatan Kuala Lumpur.

Jelas Aishah, adakala, apa diperkatakannya disalah erti orang yang mempunyai latar belakang berbeza apabila menerimanya dengan persepsi berlainan.

Menurut Aishah, penggunaan media sosial membantu peminat berhubung secara terus dengan golongan selebriti, namun pada masa sama memberi ruang kepada masyarakat untuk memperkatakan apa sahaja yang mereka mahu – Gambar Scoop/Ellyna Ali, 10 Disember, 2023

“Ia membuatkan saya terkejut. Mengapa mereka boleh mengubah sesuatu kenyataan itu sampai begitu sekali. Kemudian mereka ajak pula orang lain mengutuk sama.

“Walaupun kita dah jelaskan dan sudah minta maaf bila ada orang salah anggap, tetapi mereka boleh pula buat tuduhan lain,” kata penyanyi lagu Janji Manismu dan Camar Yang Pulang itu.

Pada masa sama, Aishah menjelaskan, bagi sesiapa yang benar-benar mengenali dan mengikuti perkembangan kerjaya seninya, mereka akan tahu bahawa dia seorang yang memiliki hati cukup sensitif.

“Tengok video kucing di tepi jalan pun saya boleh menangis sampai bengkak-bengkak mata, inikan pula komen berbentuk kecaman, tapi bila saya duduk dan berfikir, saya fikir macam duduk di planet lain, mungkin begitu cara orang sekarang serta ia mungkin disebabkan wujudnya jurang generasi.

“Dan, ia menyedarkan bahawa saya tidak perlukan jutaan orang yang mengikuti saya di media sosial. Saya akan ‘block’ mereka yang menghantar komen keterlaluan.

“Ada orang kata itu biasalah. Itu semua biasa. Tidak. Itu bukan biasa dan saya tidak akan menormalisasikannya,” tegasnya. – 10 Disember, 2023