Uyaina simpati nasib Kaka tapi puji keberaniannya, ‘inilah sebahagian daripada jihad’

Akaun TikTok Uyaina juga pernah disekat gara-gara kelantangannya bersuara isu Palestin

Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad bersimpati dengan nasib yang menimpa penyanyi, Kaka Azraff yang telah menjadi mangsa kecaman netizen Israel, namun pada masa yang sama memuji keberaniannya. - Gambar Instagram, 5 Disember, 2023

PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara, Uyaina Arshad bersimpati dengan nasib menimpa penyanyi, Kaka Azraff yang menjadi mangsa kecaman netizen Israel.

Namun Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 31, berkata, dia turut memuji keberanian Kaka yang lantang bersuara mengenai isu Palestin sehingga mandapat perhatian Jew Hate Data Base.

“Kepada Kaka, jangan rasa ‘demotivated’ (hilang semangat). Ini adalah sebahagian daripada jihad. Yang penting kita tahu niat sebenar kita untuk beri kesedaran kepada orang ramai dan menjadi suara kepada yang tidak mampu bersuara.

“Saya rasa tak ramai orang yang berani untuk lantang bersuara seperti Kaka. Saya harap dia terus kuat,” katanya ketika ditemui di pertunjukan fesyen Rico Rinaldi x Good Virtues Co.

Baru-baru ini netizen dilihat menyerang akaun Instagram Warner Music selepas bengang kontrak Kaka Azraff akan ditamatkan susulan komen lantang penyanyi itu terhadap kekejaman Israel dan rejim zionis. – Gambar Instagram, 5 Disember, 2023

Tambah Uyaina lagi, dia kini sedar dan faham kenapa ada selebriti dan pempengaruh takut untuk bersuara mengenai isu Palestin kerana bimbang pendapatan mereka terjejas.

“Macam saya, akaun Tik Tok saya telah disekat. Tipulah kalau saya tak rasa sayang. Tetapi tak mengapa, akaun boleh buat yang baru.

“Tetapi ada individu yang bergantung dengan akaun media sosial untuk menjana pendapatan,” katanya.

Pernah terlibat dengan jenama berkaitan Israel, Uyaina turut mengambil pendekatan untuk tidak mempromosikan jenama berkenaan di akaun media sosialnya walaupun sudah melakukan sesi penggambaran.

“Semua sesi penggambaran telah pun siap. Cuma tunggu untuk muatnaik sahaja. Tetapi saya rasa tidak sesuai untuk dikongsikan ketika Palestin sedang berperang.

“Jadi saya beritahu pihak berkenaan, bahawa saya tak boleh teruskan. Syukur Alhamdulillah mereka faham dengan situasi saya,” ujarnya. – 5 Disember, 2023