Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Dakwaan ‘Abang Mat’ mengenai keadaan Anwar di penjara tidak benar, berniat jahat | Scoop

Dakwaan ‘Abang Mat’ mengenai keadaan Anwar di penjara tidak benar, berniat jahat

Jabatan Penjara tidak akan teragak-agak membuat laporan polis kerana dakwaan itu bukan sahaja menjejaskan imej Jabatan Penjara, tetapi juga Anwar sebagai Perdana Menteri

6:11 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara menafikan dakwaan bekas banduan Penjara Sungai Buloh dikenali sebagai ‘Abang Mat’ mengenai keadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjalani hukuman di penjara itu pada 2015.

Jabatan itu berkata, berdasarkan penelitian wawancara individu terbabit menerusi sebuah video di akaun Youtube ‘Cili Kasi Taruk’ bertarikh 3 Disember, kenyataannya tidak benar sama sekali dan berniat jahat.

Menurutnya, tiada bilik untuk penempatan banduan VIP di Penjara Sungai Buloh dan mana-mana penjara lain seperti didakwa individu terbabit.

Malah katanya, Anwar ditempatkan di klinik Penjara Sungai Buloh di atas pengesyoran oleh pegawai perubatan kerana masalah kesihatan yang dialaminya.

“Klinik Penjara Sungai Buloh turut menempatkan banduan lain yang memerlukan rawatan dan pemantauan kesihatan yang lanjut dengan hampir keseluruhan mereka adalah banduan tempatan dan bukan hanya banduan warga asing.

“Semua banduan yang berada di klinik penjara disediakan katil seperti pengesyoran pegawai perubatan untuk kepentingan kesihatan mereka seperti yang dinyatakan dalam Peraturan 234 Peraturan-Peraturan Penjara 2000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas jabatan itu lagi, kerja membersikan klinik termasuk bilik rawatan dilaksana oleh banduan terpilih yang ditempatkan di klinik berkenaan, bukannya dari blok penginapan yang lain serta dipantau rapi pegawai penjara.

“Tiada sebarang tirai dipasang untuk melindungi bilik dasar seperti bilik banduan lain bagi membolehkan kawalan dan pemerhatian oleh pegawai penjara dapat dilaksanakan tanpa halangan.

“Malah terdapat juga kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang dikawasan tersebut sebagai bantuan kawalan,” katanya.

Berhubung dakwaan bahawa waktu senaman pada sebelah pagi dan Anwar berjoging hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju, Jabatan Penjara menegaskan, maklumat itu tidak tepat.

“Berdasarkan rekod jadual yang ditetapkan di Penjara Sungai Buloh, kemudahan senaman tersebut dilaksanakan pada waktu petang.

“Percakapan “Abang Mat” menyatakan Anwar berjoging hanya memakai seluar pendek dan tidak memakai baju juga adalah tidak tepat sama sekali,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Penjara berkata, bagi sesi lawatan, perjumpaan untuk Anwar adalah sama seperti layanan diterima banduan lain iaitu mengikut sistem peringkat dan bukannya setiap hari.

Katanya, perjumpaan pula dilaksanakan di tempat lawatan, bukannya di klinik penjara.

“Berasaskan Peraturan 91, Peraturan-Peraturan Penjara 2000, Anwar boleh dibenarkan perjumpaan khas bagi urusan yang mustahak dan perlu disegerakan.

“Kemudahan ini turut diberikan kepada banduan lain dalam urusan berkaitan kematian, perniagaan, pelajaran dan urusan keluarga yang mustahak dengan keluarga perlu memohon terlebih dahulu.

“Hampir kesemua perjumpaan Anwar bersama keluarga, isterinya (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) ada bersama,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, bilik penempatan banduan di klinik penjara termasuklah bilik Anwar tidak boleh diakses oleh mana-mana banduan lain dengan dikawal pegawai penjara dikhaskan untuk kawalan terhadap beliau sahaja.

“Prosedur operasi standard (SOP) disediakan tidak membolehkan banduan lain berada di situ. Bilik Anwar hanya menghadap dinding laluan petugas (pegawai penjara) dan hanya boleh dilihat dari pandangan hadapan bilik berkenaan.

“Maka, dakwaan “Abang Mat” dapat melihat Anwar dalam jarak 50 meter adalah mustahil dan satu rekaan cerita semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Penjara memaklumkan Anwar tidak pernah melakukan apa-apa perbuatan yang melanggar tatatertib penjara.

“Begitu juga pelawat yang melawat beliau di penjara dan hospital turut mematuhi tatatertib lawatan diberikan. Kawalan secara rapi oleh pegawai penjara menunjukkan Anwar sentiasa mematuhi peraturan penjara.

“Keperluan rawatan lanjut Anwar di hospital luar penjara adalah di atas pengesyoran oleh pegawai perubatan dengan beliau turut mendapat rawatan dan pemeriksaan kesihatan di Penjara Sungai Buloh,” katanya.

Malah katanya, semasa berada di hospital luar, Anwar dikawal rapi setiap masa termasuklah semasa pegawai perubatan membuat pemeriksaan, lawatan oleh keluarga dan peguam.

“Tiada individu lain dibenarkan masuk dan berjumpa dengan Anwar. Begitu juga pelawat yang hadir iaitu keluarga dan peguam patuh kepada SOP penjara termasuk pemeriksaan yang perlu dilaksanakan pegawai penjara terhadap mereka.

“Jadi ingin ditegaskan sekali lagi kenyataan tersebut amatlah tidak benar dan pihak terlibat wajar disiasat. Kami tidak akan teragak-agak membuat laporan polis kerana dakwaan ini bukan sahaja menjejaskan imej Jabatan Penjara tetapi juga Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya. – 5 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Related