KUALA LUMPUR – Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman esok, dijangka kurang 70 peratus dengan majoriti lebih rendah akan diraih calon yang memenangi kerusi itu.
Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, ia disebabkan faktor kelesuan politik yang masih berterusan dengan majoriti rakyat melihat PAS akan mengekalkan status quo.
“Saya tidak jangkakan 27,000 ke atas majoriti (seperti sebelum ini), sebaliknya lebih rendah dan itu bukan kerana calon Barisan Nasional (BN),tetapi disebabkan kadar peratusan keluar mengundi rendah, menyebabkan majoriti itu berkurangan.
“Status quo akan terus kekal dengan parti penyandang kerana kita lihat Terengganu ini kubu kuat PAS dan mahu tidak mahu, kena akui kekuatan PAS dan PN bermula pada PRU-15 lalu.
“(Jadi) Agak sukar bagi calon parti lain menembusi kepungan politik PAS dan PN,” katanya kepada Scoop.
PRK Kemaman menyaksikan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mohktar diletakkan PAS sebagai calon bagi berhadapan calon BN yang mempertaruhkan bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Manakala, pensyarah politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, PAS berada dalam tekanan untuk meraih kemenangan dengan majoriti lebih besar, berikutan parti itu meletakkan calon Menteri Besar.
“Saya melihat Ahmad Samsuri masih mendahului, biarpun calon diletak BN juga hebat kerana ada ketokohan dan kewibawaan.
“Kita juga tak boleh menolak sentimen budaya politik Terengganu agak berbeza, mereka tidak sekadar melihat calon, tetapi parti dan kedudukan semasa politik, sudah pasti bebanan serta cabaran itu besar,” katanya.
Tambah beliau, peratusan keluar mengundi akan banyak menentukan keputusan PRK itu.
“Sekarang musim monsun, hujan, adakah ramai akan keluar? Adakah pengundi luar akan balik? Ada yang beranggapan ianya tidak mengubah keputusan di peringkat Persekutuan, Kerajaan Perpaduan akan kekal dengan 152 kerusi dan kemenangan tidak mengubah kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, lebih penting ketika ini, sekiranya BN dapat mengurangkan majoriti, ia boleh disifatkan sebagai kemenangan dalam situasi gelombang hijau bergerak pantas.
“Kalau dapat kurangkan itu, ada tanda perubahan untuk bergerak ke arah PRU-16 nanti. PAS juga perlu berhati-hati, tidak boleh mengatakan mereka dalam kedudukan terlalu selesa.
“Yang penting pengundi hari ini literasi politik sudah berbeza, tidak ada kesetiaan politik yang kekal, ia bersifat dinamik dan tidak statik,” katanya.
Sementara itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, pengurangan majoriti akan berlaku pada PRK Kemaman, biarpun kerusi berkenaan dijangka kekal milik PAS.
“Kempen agak ‘muram’ sedikit kerana PAS yakin akan menang dan BN pula akui sukar untuk tumbangkan PAS.
“Bila calonkan bekas mantan PAT yang tidak terkait dengan politik dalaman Umno Terengganu, ia memberi keyakinan kepada penyokong BN dan Pakatan Harapan (PH) itu sendiri, terutama sekali pengundi bukan Melayu,” katanya.
Azmi berkata, atas alasan itu, PAS meletakkan Samsuri supaya kekurangan majoriti terbabit tidak menurun begitu mendadak.
“Kalau turun mendadak katakanlah daripada 27,000 kepada 5,000 sahaja, ia jadi modal kepada BN untuk kata penduduk Kemaman paling tidak mungkin rasa menyesal, selepas memberi kemenangan 100 peratus (kepada PN) semasa pilihan raya negeri lalu,” katanya. – 1 Disember, 2023