PUTRAJAYA — Pasangan pelakon dan usahawan popular, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel berharap agar hubungan sahabat baik mereka iaitu Mawar Rashid dan Raf Yaakob kembali terjalin.
Menurut Wawa, dia dan suami tidak menyangka hubungan rakan baik mereka itu akan berakhir dengan penceraian.
“Kami sangat terkejut dan tidak menjangkakan perkara ini akan berlaku kerana mereka adalah pasangan yang sangat ‘sweet’ dan ‘loving. Mereka juga adalah orang yang sangat baik.
“Sebelum berita penceraian mereka tular, Raf ada berjumpa kami dan memaklumkan tentang perkara ini.
“Sebagai sahabat, sudah tentu kami sedih dan terkejut. Kami pula yang rasa seperti nak menangis ketika itu,” katanya ketika ditemui di majlis pra pelancaran filem Klepet.
Tambah Wawa, dia dan Ariel hanya mampu mendoakan yang terbaik buat Mawar dan Raf.
“Mungkin ini (penceraian) adalah keputusan yang terbaik buat mereka. Tetapi saya sangat mengharapkan agar satu hari nanti hubungan mereka boleh bersatu semula,” ujarnya.
Ditanya adakah Mawar dan Raf pernah berkongsi masalah mereka dan meminta nasihat , kata Aeril dia dan Wawa juga bukanlah pasangan yang sempurna untuk beri nasihat.
“Kami pun tak pandai sangat nak bagi nasihat. Lagipun mereka berpisah bukan disebabkan orang ketiga.
“Mungkin mereka ada masalah lain yang hanya mereka sendiri tahu.
“Kita doakan semoga ada sinar untuk mereka kembali bersama,” jelasnya.
Kongsi pasangan ini lagi, selepas sahabat mereka itu berpisah, mereka belum berkesempatan untuk bertemu dengan Mawar dan Raf.
“Saya rasa mereka masih dalam fasa untuk bertenang dan memerlukan ruang privasi sendiri. Kami tidak mahu ganggu mereka dan hanya mampu mendoakan yang baik-baik sahaja,” kata Wawa.
Terdahulu, Mawar dan Raf mengumumkan perpisahan mereka pada 23 November lalu menerusi hantaran di Instagram Story atas sebab tiada lagi persefahaman. – 30 November 2023