GEORGE TOWN – Seorang pekerja di tapak pembinaan gudang logistik yang runtuh di Batu Maung, Bayan Lepas malam tadi, terselamat apabila turun lebih awal untuk berehat, beberapa minit sebelum kejadian.
Mohidul Islam, 43, warga Bangladesh berkata, dia bersama empat rakan yang membuat kerja kayu di bahagian atas gudang turun berehat, sebelum tiba-tiba terdengar dentuman kuat.
Katanya, keadaan menjadi kelam kabut selepas dia menyedari terdapat runtuhan pada struktur sedang dalam pembinaan itu.
“Saya bersyukur kerana turun awal, kalau tidak mungkin saya juga jadi mangsa.
“Kebanyakan kami di sini baru tiga bulan bekerja di tapak projek ini dan tidak menyangka akan berlaku kejadian seperti ini.
“Saya amat sedih kerana ramai rakan terkorban,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pagi ini.
Seorang lagi pekerja, Md Ikhtiar, 38, berkata, ketika kejadian kira-kira 9.40 malam itu, dia sedang bekerja di bahagian bawah gudang sebelum terasa struktur bangunan itu seperti bergoyang.
Menurutnya, dia kemudian lari dan keluar menyelamatkan diri selepas mendengar jeritan daripada pekerja lain, sebelum melihat gudang itu runtuh.
“Seorang daripada mangsa berjaya ditarik keluar tetapi keadaannya ketika itu sangat parah dan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam satu kenyataan pagi ini memaklumkan, pihaknya mengalami kesukaran dalam mengalihkan rasuk yang jatuh bagi mengeluarkan mangsa tertimbus.
“Kren digunakan untuk mengalihkan struktur rasuk berat yang menghalang laluan masuk ke runtuhan dan kerja pengalihan ini, memerlukan sedikit masa,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamad Usuf Jan Mohamad pada sidang media di lokasi mengesahkan, tiga pekerja warga Bangladesh maut dan dua parah, manakala empat dikhuatiri masih tertimbus.
Beliau berkata, polis yang menerima maklumat kira-kira 9.45 malam, dimaklumkan terdapat 18 pekerja di lokasi, tetapi sembilan daripada mereka keluar untuk solat dan sembilan dilaporkan terperangkap.
Tapak binaan gudang logistik berkenaan terletak di selatan Pulau Pinang dan bangunan itu adalah kompleks perniagaan logistik tiga tingkat yang mempunyai pejabat, ruang parkir serta gudang. – 29 November, 2023