KUALA LUMPUR — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kini sedang dalam tempoh berehat sebelum kembali bertugas selepas menjalani pembedahan baru-baru ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya.
“Alhamdulilah. Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakan kesihatan saya selepas menjalani pembedahan tempohari.
“Seperti yang dinasihatkan oleh doktor, saya dalam tempoh berehat sebelum kembali bertugas.
“Terima kasih sekali lagi kepada semua yang mendoakan dan memberikan sokongan. Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan serta menempatkan kita semua dalam rahmat dan kasihNya. Amin.,’’ katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Minggu lalu, anak Zahid, Datuk Nurulhidayah memaklumkan Zahid berada dalam keadaan sihat selepas menjalani satu prosedur pembedahan.
Menurut Nurul, sepatutnya pembedahan itu diadakan lebih awal tetapi ditunda disebabkan kekangan masa dan jadual padat.
“Saya mengambil maklum berita kesihatan Abah saya yang tular di SOCMED (media sosial). Secara peribadi dan rendah diri, saya menghargai keperihatinan dan doa daripada posting, komen dan tidak kurang juga daripada mereka “yang terpaling tahu”,’’ katanya. – 23 November, 2023