ASGV: Noryn Aziz reda tersingkir, Jaclyn Victor pula…

Persembahan duet Noryn Aziz bersama Dia Fadila menerusi lagu Tegar daripada Rossa, gagal menambat hati juri

Biarpun sedih tersingkir dari ASGV, Noryn Aziz (kiri, baju merah jambu) reda dan menganggapnya ada hikmah tersendiri, manakala Jacklyn Victor (kanan) menduduki tempat teratas pada konsert minggu kesembilan, malam tadi. - Gambar Astro, 20 November, 2023

SHAH ALAM: Konsert All Stars Gegar Vaganza (ASGV) minggu kesembilan menyaksikan penyanyi yang juga guru vokal, Noryn Aziz gagal ke peringkat suku akhir.

Noryn yang menyampaikan lagu Tegar secara duet bersama Dia Fadila, sekadar mengumpul markah 55.25 peratus, sekali gus meletakkannya di tangga tercorot.

Juri tetap, Datuk Syafinaz memuji gandingan kedua-duanya yang kelihatan seimbang, namun meminta Noryn menambah dinamik dalam nyanyiannya.

Ketua juri, Datuk Ramli MS berpendapat, terdapat banyak kesalahan dalam nyanyian Noryn.

“Nada dia tak tepat. Bila tak tepat nyanyian jadi sumbang,” katanya ketika ditemui pada sidang media sejurus tamat konsert minggu itu.

Manakala, Noryn sewaktu diminta mengulas mengenai penyingkirannya berkata, dia reda dengan keputusan barisan juri.

“Saya harus reda dengan keputusan ini. Tetapi saya bangga dengan pencapaian saya yang berjaya melangkah sehingga minggu ke sembilan, cuma saya sedih kerana tidak lagi dapat bersama dengan rakan-rakan saya di sini, juga tidak dapat melangkah ke peringkat akhir.

“Saya percaya kesemua 16 peserta yang bertanding di ASGV berharap mereka dapat melangkah ke peringkat akhir. 

“Namun, saya percaya dengan rezeki Allah. Pasti ada sebab kenapa perjalanan saya dalam ASGV terhenti di sini. Ini bukanlah pengakhiran, tetapi permulaan sesuatu yang baru untuk saya,” katanya. 

Ditanya mengenai perancangan kerjaya seninya selepas ini, kata Noryn, dia bakal merakamkan lagu baharu ciptaan Azlan Abu Hassan yang akan dinyanyikan secara kolaborasi bersama kumpulan VE (GV9), selain merakamkan sebuah lagu tema untuk drama bersiri. 

Pada konsert minggu kesembilan itu, Jaclyn Victor pula kembali merampas gelaran juara mingguan, selepas membuat persembahan memukau menerusi lagu All I Ask nyanyian asal Adele duet bersama juara Big Stage 2023, Nadeera Zaini. 

Jaclyn yang kehilangan suara baru-baru ini, meluahkan syukur apabila ia kembali pulih sebelum konsert minggu kesembilan bermula. 

“Ketakutan bagi setiap penyanyi adalah kehilangan suaranya. Saya mula sakit sejak minggu lepas. Jadi saya jumpa doktor dan diberikan ubat antibiotik. 

“Saya dinasihati supaya tidak bercakap untuk cepat sembuh. Jadi saya tak bercakap dalam tempoh tertentu, kemudian suara saya beransur pulih. 

“Saya bersyukur kerana rakan duet saya, Nadeera sangat bagus dan dia sangat baik. Saya mengenali dia sejak program All Together Now. Ketika itu saya betul-betul kagum dengan suaranya yang menyanyikan lagu Cinta daripada Marsha,” kongsinya.

Minggu hadapan setiap peserta harus menyampaikan dua lagu bertemakan ‘world music’ dan sebuah lagu dipilih Ramli. – 20 November 2023