Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Lebih 1,000 penduduk Bkt Jelutong desak batalkan projek pembinaan rumah di padang hijau terakhir | Scoop

Lebih 1,000 penduduk Bkt Jelutong desak batalkan projek pembinaan rumah di padang hijau terakhir

Zien Hashim berkata mengikut pelan asal, sepatutnya Bukit Jelutong mempunyai rumah kelab sendiri, tetapi sehingga hari ini masih tidak dibina dan lokasinya telah ditukar menjadi rumah kedai

1:48 PM MYT

 

SHAH ALAM — Lebih 1,000 penduduk Bukit Jelutong di sini memohon pemaju, Sime Darby Property dan pihak berkuasa tempatan (PBT) agar tidak meneruskan projek pembinaan 425 unit rumah di atas padang hijau terakhir di kawasan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Jelutong (BJRA), Zien Hashim berkata pihaknya berharap padang hijau itu dikekalkan kerana telah menjadi kawasan riadah penduduk setempat sejak 30 tahun dahulu.

Beliau berkata mengikut pelan asal, sepatutnya Bukit Jelutong mempunyai rumah kelab sendiri, tetapi sehingga hari ini masih tidak dibina dan lokasinya telah ditukar menjadi rumah kedai. 

“Selepas satu per satu (kawasan hijau) ditukar, penduduk kehilangan banyak kemudahan. Jadi, apabila padang hijau ini pun mahu ditukar menjadi projek pembangunan, penduduk bangkit untuk nyatakan bantahan,” katanya kepada pemberita selepas himpunan aman “Bukit Jelutong Bersatu: Mengekalkan Warisan Hijau Kami” di sini hari ini. 

Beliau berkata selama ini, penduduk di situ tidak pernah membantah akan projek-projek lain di kawasan berkenaan, namun menolak pembinaan hutan konkrit di kawasan hijau terakhir dalam komunitinya.

“Penduduk meminta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membatalkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) yang dikeluarkan pada 6 Sept lepas, dan tidak meneruskan projek ini … untuk tindakan awal, kami akan bertemu pihak pemaju bagi membincangkan isu terbabit selain sedang pertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang merupakan penduduk di situ berkata projek berkenaan akan memberi kesan kepada kesesakan lalu lintas dan bakal mengundang banjir di kawasan berkenaan.

“Penduduk di sini ramai pakar dan golongan profesional yang tahu mengenai risiko yang bakal dihadapi jika projek diteruskan. Malah, ketiadaan padang untuk aktiviti riadah juga akan memberi kesan kepada aktiviti sosial kanak-kanak yang habiskan masa dengan gajet susulan tiada padang untuk bersukan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berkata pihaknya akan membantu memudahkan rundingan antara penduduk, pihak pemaju dan PBT bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Kita akan cuba cari penyelesaian secara situasi menang-menang, apa yang penting kita hendak memelihara dan mempertahankan kawasan hijau di dalam Bukit Jelutong ini kerana di sini tiada kawasan rekreasi yang besar untuk penduduk,” katanya. – 18 November, 2023

Topics

 

Hangat

Related