KUALA LUMPUR – Adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Tan Sri Mohamed Nazir dikhabarkan melangsungkan perkahwinan dengan seorang wanita dikenali sebagai Yati Zainudin, hari ini.
Berita gembira itu dikongsi Norashman yang juga anak kepada Najib menerusi gambar yang dimuatnaik di InstaStory miliknya.
“Congrats Uncle Jay! @nazir.razak,” katanya.
Menerusi gambar yang dikongsinya itu, Nazir yang juga bekas Pengerusi CIMB Berhad (CIMB) mengenakan busana pengantin serba putih menyarung cincin kepada pasangannya.
Difahamkan Yati adalah seorang ahli perniagaan dan pengasas bersama kosmetik, Bluemolly.
Wanita itu juga merupakan adik kepada aktivis kanak-kanak daripada badan bukan kerajaan (NGO) Voice of the Children, Datuk Hartini Zainudin.
Berita pernikahan itu turut disahkan rakan baik Nazir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd., Tan Sri Tony Fernandes.
Beliau memuatnaik beberapa keping foto semasa menghadiri hari bahagia sahabatnya itu.
“Tahniah kepada adik dan bestie saya kerana melalui ‘api’ untuk mencari kebahagiaan,” tulisnya di Facebook.
Media melaporkan majlis resepsi pasangan itu akan diadakan di sebuah hotel di ibu negara, malam ini.
Nazir pernah mendirikan rumah tangga dengan Puan Sri Azlina Aziz dan dikurniakan dua cahaya mata.
Pasangan itu dilaporkan bercerai pada tahun ini. – 17 November, 2023