NEW YORK – Laporan dikeluarkan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (OCHA) baru-baru ini menyatakan, Kilang Tepung As-Salam Palestin di Deir Al Balah dibom dan musnah akibat serangan udara Israel, menurut Agensi Berita Jordan, Petra.
Premis itu adalah kilang gandum terakhir masih beroperasi di Gaza sejak serangan terbabit tercetus pada 7 Oktober lalu.
Kemusnahan kilang itu bermakna tepung yang dihasilkan secara tempatan, tidak boleh didapati di Gaza kelak.
Menurut laporan sama, tentera Israel menahan beberapa pelarian dalaman (IDP) yang melarikan diri melalui ‘koridor’ ditetapkan tentera penceroboh untuk mereka.
Laporan saksi dan sumber yang tidak dapat disahkan pula memaklumkan, beberapa penduduk yang kehilangan tempat tinggal dipukul dan dibogelkan.
Petra pada Selasa melaporkan, tentera Israel membina pusat pemeriksaan tanpa kakitangan dan mengarahkan penduduk Palestin, menunjukkan pengenalan diri mereka,
Mereka juga diarah menjalani proses yang dipercayai imbasan pengecaman wajah.
Lebih 1.5 juta penduduk di Gaza dianggarkan hilang tempat tinggal, termasuk kira-kira 813,000 IDP yang tinggal di sekurang-kurangnya 154 pusat perlindungan agensi pelarian Palestin PBB (UNRWA). – 16 November, 2023