Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Sempena 10 tahun kolaborasi, Malaysia, AS bakal rangka pelan praktikal perkukuh hubungan: PM | Scoop

Sempena 10 tahun kolaborasi, Malaysia, AS bakal rangka pelan praktikal perkukuh hubungan: PM

Anwar berkata, sama seperti kerjasama dengan beberapa negara lain, Malaysia menganggap hubungan strategik dengan AS sebagai penting untuk merancakkan lagi ekonomi serta kepentingan bagi keselamatan negara

10:09 AM MYT

 

SAN FRANCISCO – Sejajar usia Perkongsian Komprehensif Amerika Syarikat (AS)-Malaysia yang bakal mencecah sedekad pada 2024, kedua-dua negara berkenaan kini merancang merangka pelan praktikal menjelang tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu bagi memperkukuh kerjasama berkenaan.

“Tahun depan genap 10 tahun sejak Malaysia dan AS meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Komprehensif pada April 2014.

“Kita akan merangka pelan praktikal menjelang akhir tahun ini, bagi mengenal pasti bagaimana perkongsian ini dapat diperkukuhkan lagi untuk manfaat rakyat kedua-dua negara dan rantau terbabit secara lebih meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk ‘Super Power Rivalry and Rising Tensions in the Asia Pacific’ (Persaingan Negara Kuasa Besar dan Peningkatan Ketegangan di Asia Pasifik) di University of California, Berkeley di sini, hari ini.

Malah, ketika berkongsi pandangan dengan 250 penuntut yang menghadiri sesi itu, Perdana Menteri berkata, walaupun hubungan Malaysia-AS tidak mendapat perhatian, seperti membabitkan China, Jepun atau Filipina, ia masih dianggap penting.

“Hubungan itu bukanlah satu pakatan mahu pun bersifat perbalahan dan ia dilihat seolah-olah ‘ditakdirkan’ untuk tidak menonjol atau jelas di mata ramai.

“Namun, berfikiran sedemikian sebaliknya boleh menjadi halangan kepada jalinan kerjasama serta sikap saling menghormati yang dibina kedua-dua negara,” katanya.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia menganggap hubungan strategik dengan AS sebagai penting untuk merancakkan lagi ekonomi serta kepentingan bagi keselamatan negara.

Anwar turut menegaskan, pendirian itu bersandarkan penilaian objektif, rasional dan kemungkinan penilaian utilitarian mengenai cara terbaik untuk memenuhi keperluan Malaysia di pentas global.

“Biarlah fakta menjelaskannya, AS adalah antara pelabur asing terbesar Malaysia dengan nilai pelaburan yang diikrar pada tahun ini mencecah lebih US$100 bilion (US$1=RM4.72) dan merentasi sektor pembuatan, perkhidmatan dan digital.

“Jumlah itu mungkin lebih rendah memandangkan banyak firma AS yang bertindak menyalurkan pelaburan mereka menerusi anak syarikat masing-masing di seluruh Asia dan Eropah. Pada masa sama, AS rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, manakala negara ini adalah pasaran eksport ke-17 terbesar bagi AS,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, kerjasama pertahanan dan keselamatan turut menjadi tunjang penting dalam hubungan Malaysia-AS yang lebih meluas.

“Malaysia menjalankan lebih banyak latihan ketenteraan dua hala dan pelbagai hala dengan AS, berbanding dengan mana-mana rakan lain, iaitu masing-masing sebanyak 11 latihan dua hala serta lima pelbagai hala setiap tahun.

“Ini membantu dari segi membina kapasiti serta kesiapsiagaan pasukan masing-masing. Bagi tempoh 2018 hingga 2022 misalnya, bantuan keselamatan AS melebihi US$220 juta yang menyediakan aspek seperti peralatan, latihan dan sokongan penting lain,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kedua-dua negara terbabit dalam usaha bersama bagi meningkatkan keselamatan maritim dan memerangi ancaman transnasional seperti jenayah siber, keganasan, ekstremisme serta pengedaran dadah.

Kebimbangan terbabit, katanya, melangkaui sempadan negara dan resolusinya memerlukan usaha kolaboratif yang memanfaatkan kapasiti secara kolektif.

Menyentuh ruang lingkup di luar hubungan keselamatan, beliau berkata, Malaysia memainkan peranan sebagai rakan kongsi mantap untuk AS dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, perubahan iklim, kesihatan awam serta usaha memperkasa kalangan masyarakat terpinggir.

Bukan setakat itu, ujarnya, apabila ribuan pelajar Malaysia turut mendaftar di universiti AS setiap tahun bagi mendapatkan pendidikan bertaraf dunia, sebelum pulang ke tanah air untuk menyumbang kepada pembangunan negara. – 15 November, 2023

Topics

 

Hangat

Related