Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Isu pempengaruh media sosial, Zhiddin Aziz digugurkan dari APBN dapat perhatian Shahidan di Dewan | Scoop

Isu pempengaruh media sosial, Zhiddin Aziz digugurkan dari APBN dapat perhatian Shahidan di Dewan

Shahidan mahu usul Zhiddin, yang juga anak Allahyarham Aziz Desa digugurkan nama dari APBN 2023 dibahas di Parlimen ‘ia hangat dibincangkan di media sosial’

4:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Isu seorang pempengaruh media sosial, Zhiddin Aziz yang mendakwa kemenangannya dinafikan semasa Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) peringkat kebangsaan 2023, telah dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) memaklumkan beliau telah mengemukakan usul supaya isu berkenaan dibahaskan.

Jelasnya, bagi tujuan itu, beliau telah menyerahkan usul berkenaan ke pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, pagi tadi.

Pada masa sama, Shahidan turut memetik Peraturan Mesyuarat 18(1) yang menyatakan mana-mana ahli selain daripada Menteri boleh meminta kebenaran untuk membincangkan (isu) yang ditakrifkan ‘perkara kepentingan awam yang mendesak’.

“Usul ini adalah untuk membincangkan dakwaan salah seorang calon pemenang APBN yang digugurkan pada saat akhir.

“Pada masa yang sama, jawatankuasa pengesahan pemenang APBN turut umumkan tidak ada pemenang untuk dua kategori yang dipertandingkan, iaitu Ikon Belia Influencer dan Ikon Belia Sanjungan Budi kerana tiada calon yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.

“Perkara ini hangat dibincangkan di media sosial,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Baru-baru ini, Zhiddin, yang juga anak kepada personaliti televisyen, Allahyarham Aziz Desa, meluahkan kekecewaannya di platform TikTok apabila kategori yang menyenaraikannya sebagai salah seorang calon pemenang pada ABPN 2023, telah digugurkan pada saat akhir.

Luahan di Tiktok Zhiddin itu setakat ini meraih kira-kira 2.2 juta tontonan.

Penganjur sekretariat APBN menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) tampil menjelaskan bahawa Jawatankuasa Pengesahan Pemenang ABPN sebulat suara memutuskan tiada pemenang bagi dua kategori yang dipertandingkan.

“Tiada pemenang bagi dua kategori iaitu Ikon Belia Influencer (Media Sosial) dan Ikon Belia Sanjungan Budi kerana ia tiada calon yang memenuhi kriteria ditetapkan,’’ kata sekretariat terbabit.

Timbalan Speaker Datuk Ramli Mohd Nor bagaimanapun memberitahu beliau tidak dimaklumkan mengenai usul tersebut dan mungkin ia masih di atas meja Johari. – 14 November, 2023

Topics

 

Hangat

Related