KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan doa semoga Allah SWT mengangkat penindasan dan kemusnahan dari bumi Palestin.
Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebooknya memaklumkan, dia berkesempatan menitipkan doa itu ketika melaksanakan ibadah umrah hari ini, selepas Sidang Kemuncak Tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Riyadh, Arab Saudi.
“Alhamdulillah, saya bersama Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan delegasi Malaysia, diizinkan Allah melaksanakan ibadah umrah usai Sidang Kemuncak Tergempar OIC sebelum berangkat ke Amerika Syarikat (AS).
“Saya titipkan doa memohon Allah mengangkat penindasan dan kemusnahan dari bumi Palestin.
“Semoga saudara kita di Gaza dan Tebing Barat dilimpahkan kesejahteraan, keamanan dan dikurnia kekuatan dalam menempuh tantangan serta kezaliman,” katanya.
Beliau turut berkongsi beberapa keping gambar ketika mengerjakan ibadah itu.
Anwar tiba di Riyadh semalam untuk menghadiri OIC kali kelapan bagi membincangkan serangan dan kekejaman berterusan Israel terhadap Palestin.
Selepas ini, beliau dijadualkan menghadiri sidang Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di San Francisco, AS.
Terdahulu, Anwar berkata, Malaysia akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin dalam menyuarakan pandangan berhubung krisis Palestin dan Israel pada sidang itu.
Pada sidang OIC berkenaan, Perdana Menteri menggesa negara anggota pertubuhan itu secara konsisten, mendesak pelaksanaan gencatan senjata serta-merta, manakala bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza disegerakan.
Katanya, umat Islam di seluruh dunia mengharapkan hasil ketara serta tindakan konkrit daripada sidang kemuncak yang berlangsung sehari itu. – 12 November, 2023