KUALA LUMPUR – Penyanyi, Haqiem Rusli diketahui sering membawakan lagu cinta berentak balada yang menjadi ‘makanannya’.
Bahkan, lagu balada nyanyiannya sering mendapat tempat di hati peminat dan membawanya ke pentas Juara Lagu, seperti Tergantung Sepi, Lembah Kesepian serta Mimpi.
Selain itu, beberapa lagu balada ciptaannya yang diminati adalah Adlina Marie, Hitam Saksi Putih, Aku Hati dan Perasaan serta Di Sebalik Rahsia yang muncul di pasaran kira-kira lima tahun lalu.
Namun, rupa-rupanya ramai juga dalam kalangan peminatnya yang mahukan dia kembali membawakan lagu rancak seperti Jatuh Bangun.
Justeru, dalam perkongsian video singkat di media sosialnya, Haqiem memaklumkan, dia bakal muncul dengan lagu rancak berjudul Malam Yang Berdarah.
“Kenapa Haqiem asyik keluar lagu ballad (balada) je? Kami nak lagu macam Jatuh Bangun tu. Haqiem dah tak nak buat lagu rancak ke?
“Okey, sebetulnya lagu rancak bukanlah kekuatan saya. Tapi, kadang-kadang, saya boleh sahaja cuba, macam saya cuba buat untuk lagu Jatuh Bangun,” tulisnya menerusi perkongsian itu.
Haqiem turut memperdengarkan sedikit sedutan lagu baharunya itu saat dia sedang bekerja di dalam studio.
“Lagu ni dah lama peramlah, tapi mungkin selepas Famili Duo, saya akan release. Nanti sokong okey. Tajuknya, Malam Yang Berdarah,” katanya.
Beberapa pengikutnya di media sosial memaklumkan mereka sudah tidak sabar menantikan lagu rancak terbaharunya itu.
Kaki Scoop: Sebetulnya, Kaki Scoop pun suka layan lagu Jatuh Bangun dihasilkan Haqiem dan memang mengharap dia muncul dengan lagu seperti itu. – 10 November, 2023