KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan berhubung sindiket penipuan pelaburan membabitkan ahli perniagaan bergelar ‘datuk wira’ yang didakwa memperdaya ratusan pelabur, membabitkan kerugian hampir RM1 bilion.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan kes itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bersama Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (Amla).
“Saya sudah menerima maklumat berkaitan kes ini yang dilaporkan di akhbar. Kita kena siasat dulu dakwaan bahawa ‘datuk wira’ itu dilindungi seorang ‘tan sri’.
“Bila maklumat yang bukan kita keluarkan, kita kena siasat, kita nak sahkan berita dan maklumat itu benar,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki bergelar ‘datuk wira’ didakwa menipu ratusan pelabur tempatan dan antarabangsa.
Dia menggunakan janji manis apabila menjual nama rakan kongsinya yang bergelar ‘tan sri’ melalui 18 syarikat pelaburan. – 8 November, 2023