KUALA LUMPUR — Sudah tiba masanya untuk Malaysia menggubal undang-undang khusus bagi mencegah dan menangani kes buli terutama di sekolah memandangkan sehingga kini belum ada peruntukan khusus untuk perbuatan berkenaan.
Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia yang juga peguam, Wan Azliana Wan Adnan berkata, sehingga kini tiada definisi dan tafsiran yang lengkap, menyeluruh, padu lagi mantap tentang apa yang boleh dianggap sebagai perbuatan buli.
“Walaupun Malaysia mempunyai Kanun Keseksaan dan pelbagai peraturan, panduan seperti Ordinan Pelajaran, 1957, Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah), 1959, serta pekeliling yang berkaitan, namun satu undang-undang anti buli yang khusus masih diperlukan untuk menambah baik dan menguatkan undang-undang sedia ada ini
“Hukuman berbentuk pengajaran dan ‘deterrent’ juga harus dilaksanakan agar ia dapat memberi mesej yang jelas kepada pembuli dan juga murid lain bahawa perbuatan buli tiada toleransi,’’ katanya dalam kenyataan di sini.
Baru-baru ini Mahkamah Persekutuan telah memerintahkan lima bekas pelajar Tingkatan Lima dan empat pihak lain membayar ganti rugi kepada seorang mangsa buli dalam kejadian buli di bilik ketua pegawas sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan teruk dan hilang pendengaran.
Terbaru, dalam kes lain, seorang individu dipercayai kakak mangsa buli telah meluahkan kekecewaannya di media sosial apabila mendakwa pelaku yang didakwa membuli seorang pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh hanya menerima ‘hukuman ringan’ dan mempersoalkan sama ada keluarga terbabit mempunyai hubungan dengan orang kenamaan (VIP).
Menurut kakak mangsa, kejadian itu menyaksikan mangsa dibelasah senior sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian sulitnya sebelum terus ditumbuk dan ditendang sebelum pengsan.
Mengulas lanjut, Wan Azliana berkata, kes buli ini bukan perkara baru dan kejadian berkenaan terutama di sekolah berasrama penuh kini berada di tahap yang merisaukan.
“Budaya membuli yang bermula dari konsep ragging kini sudah mencapai tahap menyebabkan mangsa-mangsa buli mengalami kecederaan teruk, kecacatan fizikal, trauma dan kematian.
“Malah buli senior ke atas junior adalah salah satu penyumbang kes buli khususnya di asrama penuh kerana senior merasakan mereka mempunyai kuasa dan turut menjadi hakim untuk membuat keputusan,’’ katanya.
Justeru, bagi mencegah dan menghapuskan budaya buli di sekolah, ia memerlukan kerjasama semua pihak iaitu pentadbir sekolah, ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Kementerian Pendidikan Malaysia, polisdan masyarakat. – 7 November, 2023