KUALA LUMPUR – Dua Ahli Parlimen, Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) dan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) diarah keluar Dewan Rakyat selepas ‘bertikam lidah’ mengenai isu takbir serta doa Qunut Nazilah di sekolah.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengarahkan kedua-dua mereka keluar sehari dan dibenarkan masuk semula ke dewan esok.
Kekecohan itu tercetus ketika sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan 2024, hari ini.
“Saya rehatkan dua-dua keluar dewan, Hulu Langat, Parit Buntar keluar sekarang, esok masuk balik, dua-dua keluar minum kopi di luar,” kata Johari.
Terdahulu, Misbahul mempersoalkan mengapa sekolah dilarang melaungkan takbir dan membacakan Qunut Nazilah ketika Minggu Solidariti Palestin.
Berang dengan dakwaan itu, Sany bangun mencelah dengan menuduh Misbahul cuma menfitnah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek kononnya melarang doa Qunut Nazilah dan takbir di sekolah.
“Ini mengelirukan apa yang dikatakan mengelirukan, fitnah dalam dewan ini,” katanya.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil turut mencelah dengan menyifatkan larangan itu sebagai tidak betul.
Justeru, Misbahul kemudian meminta Sany dan Fahmi serta beberapa wakil kerajaan tidak mengganggu perbahasannya.
“Kalau tidak betul (menteri boleh) jawab waktu penggulungan, saya cuma nak beritahu disunatkan baca ketika solat fardu sebab kita menuntut dalam doa itu, supaya Allah beri pertolongan dan kemenangan kepada Palestin serta membinasakan Zionis Israel,” katanya. – 6 November, 2023