KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendakwa pembangunan semula Kg Sg Baru tidak sepatutnya ditangguhkan lagi selepas enam tahun seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.
Beliau mendakwa pihaknya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada bulan lepas.
“PMO sebelum ini sudah memberikan penangguhan hingga 31 Oktober 2023. Sekarang Oktober sudah habis, masuk November dan tiada lagi penangguhan. Pemaju kena selesaikan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana beliau bersetuju bahawa tidak ada lagi extension (lanjutan),” katanya seperti yang dilaporkan Berita Harian, hari ini.
Sebanyak 27 rumah teres dan 192 pemilik unit flat menerima tawaran Ritzy Gloss, manakala 37 lagi rumah teres dan 72 unit flat tertakluk kepada LAA.
Scoop sebelum ini melaporkan Johari menggesa kerajaan untuk segera meneruskan projek pembangunan semula Kg Sg Baru, sambil mengulangi dakwaan bahawa majoriti penduduk di enklaf Melayu itu bersetuju ia diteruskan.
Berdasarkan satu video dikongsi kepada Scoop, Johari telah mengadakan pertemuan dengan beberapa penduduk kawasan terbabit bagi menyatakan sokongannya dengan sebahagian penduduk yang sudah berpindah keluar dari kawasan itu selepas menerima tawaran pampasan oleh pemaju hartanah swasta, Ritzy Gloss Sdn Bhd.
Sumber memberitahu bahawa pertemuan itu diadakan pada 30 Oktober lalu, sehari selepas Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Kg Baru, memaklumkan bahawa terdapat beberapa pihak pemaju pembangunan menyatakan minat untuk mengambil alih projek daripada Ritzy Gloss.
Dalam sidang media pada 29 Oktober lalu, Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Kg Baru berkata, ada beberapa pemaju yang berminat untuk mengambil alih projek terbabit daripada Ritzy Gloss dan mereka bersetuju membayar pampasan sebanyak RM950 kaki persegi kepada pemilik rumah teres dan pangsapuri.
Jumlah itu lebih tinggi berbanding RM450 kaki persegi yang ditawarkan oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta.
Terdahulu, pakar kerajaan tempatan, Derek Fernandez berkata, pengambilan tanah menggunakan Seksyen 3(1)(c) Akta Pengambilan Tanah (LAA) 1960 harus mengikut sekatan dan syarat di bawah Seksyen 3(2) dan Seksyen 3(6) akta sama.
Jika gagal berbuat demikian, Derek berkata, ia akan mencetuskan keraguan sama ada penduduk terpaksa mematuhi notis pengusiran yang dikeluarkan Pentadbir Tanah Kuala Lumpur, dengan terbaru mereka diminta mengosongkan rumah pada 19 Oktober lalu.
Pada 6 Oktober lalu, pentadbir tanah telah mengarahkan pemilik tanah Kg Sg Baru untuk mengosongkan kediaman mereka selewat-lewatnya 19 Oktober ini bagi memberi laluan kepada projek pembangunan semula yang bernilai berbilion ringgit.
Bagaimanapun setiausaha politik Perdana Menteri, Azman Abidin mengesahkan kepada Scoop bahawa tarikh berpindah dilanjutkan semula kepada 31 Oktober.
Namun pada masa sama, penduduk yang terlibat ketika ditemui Scoop sebelum ini lebih rela ke penjara daripada mengosongkan kediaman masing-masing semata-mata untuk memberi laluan kepada projek terbabit. – 5 November, 2023