KUALA LUMPUR – Peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi mempertikaikan layanan tidak adil petugas Menara Berkembar Petronas apabila memberi keutamaan kepada pelancong asing memotong barisan untuk menaiki Sky Brigde.
Beliau mendakwa, dia dan anaknya yang berusia lapan tahun sudah beratur sejak jam 2 petang dan menunggu giliran sehingga jam 3.45 petang sebelum tiket masuk dapat diimbas.
Bagaimanapun, Shamsuddin berkata, beliau terkejut apabila pasangan mat salih yang sepatutnya menaiki Sky Brigde pada jam 4.15 petang dibenarkan untuk pergi lebih awal.
“Semalam, beli tiket jam 11.30 pagi dan dapat slot (naik) jam 4 petang. Jam 2 petang saya pergi semula dan duduklah di kerusi bulat di ruang menunggu. Lama jugalah tunggu hingga jam 3.45 petang barulah boleh beratur untuk scan (imbas) tiket.
“Lebih kurang jam 3 petang datanglah pegawai Melayu yang pakai tie (tali leher) warna Petronas itu ke kerusi bulat sebelah bertanya kepada couple (pasangan) mat salih tiket naik pukul berapa. Mat Salih itu jawab jam 4.15 petang.
“Pegawai itu kenyit mata dan signal (isyarat) suruh pasangan itu ke depan supaya boleh naik awal. Mulalah tertanya-tanya apa hal pula mereka boleh naik dulu. Saya ini yang dah tunggu lebih awal tidak pula dilayan begitu,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Beliau bagaimanapun bertanya kepada pegawai terbabit yang memaklumkan mereka ada hak untuk mendahulukan pelanggan yang difikirkan perlu.
“Wah… mat salih tu baru sampai, badan segar bugar bert*** dan pasangan perempuannya pun tak nampak cacat pun. Saya ini dengan rakyat yang pegang MyKid tak pula dilayan begitu,” katanya.
Kecewa dengan tindakan petugas terbabit, Shamsuddin memuatnaik hantaran mengenai insiden itu di media sosialnya, biarpun seorang lagi petugas memintanya untuk tidak berbuat demikian, sebaliknya hanya melaporkan kepada pihak pengurusan jika tidak berpuas hati.
“So (jadi), atas cabaran yang diberi, inilah saya masukkan dalam Facebook. Posting (hantaran) ini public (umum) dan terbuka kepada semua orang within and without Facebook (dalam atau di luar Facebook).
“Kalau management (pengurusan) #Petronas Twin Tower nampak, nak komen boleh, nak berhujah pun boleh. Nak bukti, boleh tengok CCTV (kamera litar tertutup). Ada satu couple (pasangan) dari Sarawak dengan saya juga tadi. Mereka pun menyaksikan kejadian,” katanya.
Hantarannya itu mendapat lebih 11,000 tanda suka dan dikongsi hampir 7,000 pengguna di Facebook.
Sementara itu, Shamsuddin yang dihubungi Scoop hari ini memaklumkan sedia memberi kerjasama kepada pihak pengurusan sekiranya mahu menyiasat dakwaannya itu.
“Setakat hari ini tiada lagi pihak terbabit ada hubungi atau meninggalkan apa-apa komen di hantaran atau meninggalkan sebarang pesanan di inbox atau wall (Facebook) saya itu.
“Hantaran itu supaya pihak sana buka mata dan lihat sendiri layanan berbeza kepada penduduk dan rakyat tempatan berbanding orang luar, kita tidak mahu ‘double standard’ seperti ini berlaku, ikutlah peraturan sebagaimana ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, menerusi Facebook rasmi Petronas Twin Towers pagi ini, pihak Pengurusan Operasi Lawatan Menara Berkembar Petronas membuat permohonan maaf atas insiden yang berlaku.
“Kami memandang berat perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dengan kadar segera. Kami akan memastikan hal ini tidak berulang lagi. Segala kesulitan amat kami kesali,” katanya. – 4 November, 2023