Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Keadaan di Gaza tenat, ‘air masin kami teguk, ada terpaksa pecah masuk pasar raya kerana kelaparan’: Nurul Ain | Scoop

Keadaan di Gaza tenat, ‘air masin kami teguk, ada terpaksa pecah masuk pasar raya kerana kelaparan’: Nurul Ain

Ada mangsa pengeboman terpaksa jalani pembedahan potong kaki di koridor hospital tanpa ubat bius

10:51 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia yang terperangkap di wilayah Khan Younis, Gaza, Nurul Ain Haron, 37, mendedahkan keadaan di sana semakin tegang.

Menurutnya, memasuki hari ke-28 sejak Israel menyerang Gaza tanpa henti, penduduk di kawasan itu masih tiada bekalan elektrik dan juga air.

Lebih menyedihkan, Nurul Ain berkata, dia dan penduduk di situ terpaksa minum air masin.

“Keadaan makin hari makin tegang. Masih tiada bekalan elektrik. Tiada air, air masin kami teguk. Apa yang boleh digambarkan Gaza tenat.

“Akibat kekurangan ubatan, empat pesakit kanser meninggal. Ada mangsa pengeboman terpaksa jalani pembedahan potong kaki di koridor hospital tanpa ubat bius.

“Rumah ranap tetapi di mulut masih mengucapkan Alhamdulillah. Mereka tidur di tepi jalan pun masih ucap Alhamdulillah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Cerita Nurul Ain lagi, ada penduduk yang terpaksa memecah masuk pasar raya kerana kelaparan.

“Apa perlu kami buat, kami lapar. Duduk di sekolah dibom, duduk di hospital dibom, duduk rumah pun dibom.

“Jadi mana tempat selamat? Jawapannya tiada tempat selamat. InsyaAllah Allah melindungi kami semua,” katanya.

Nurul Ain bersama suaminya Mohamed Adnan Shaat 33, berada di Gaza untuk bercuti. – Gambar Facebook Nurul Ain, 4 November, 2023

Walaupun serangan Israel di Gaza masih berterusan sehingga hari ini, wanita itu bersama suaminya yang juga warga Palestin sudah berada di Gaza sejak 1 Oktober lalu, yakin keadaan akan kembali pulih.

“InsyaAllah semuanya akan Okay. InsyaAllah semuanya akan berakhir,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Nurul Ain yang tinggal di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama suaminya Mohamed Adnan Shaat 33, berada di Gaza untuk bercuti.

Katanya, suaminya sudah sembilan tahun tidak bertemu keluarganya di Gaza tetapi tidak menduga percutian mereka berdepan ‘ujian’.

Sejak itu, Nurul Ain dan suaminya turut aktif mengagihkan bantuan makanan dan barang keperluan lain kepada penduduk di sekitar Khan Yunis.

Lebih memilukan apabila wanita berasal dari Keramat itu turut berkongsi kisah sedih, menyambut ulang tahun kelahiran dengan letupan bom pada 11 Oktober lalu.

Lebih 23,500 orang awam cedera dalam konflik yang tercetus sejak 7 Oktober lalu, manakala jumlah kematian terkini melebihi 9,200. – 4 November, 2023

Topics

 

Hangat

Related