Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Penduduk Kampung Forest gembira dengan sistem elektrik baharu, ‘ia lebih selamat, jimat’ | Scoop

Penduduk Kampung Forest gembira dengan sistem elektrik baharu, ‘ia lebih selamat, jimat’

Dengan sistem diperkenal SESB susulan keputusan kerajaan negeri itu, penduduk hanya perlu membayar RM30 hingga RM60 sebulan, berbanding ratusan ringgit sebelum ini

11:00 AM MYT

 

SANDAKAN – Penantian selama 40 tahun seorang penduduk di Kampung Forest di sini, Jumdanan Emau untuk mendapatkan elektrik pada harga berpatutan berakhir dengan berita gembira apabila Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merealisasikannya.

Bercerita mengenai kesukaran dialaminya sepanjang tempoh itu, penduduk berusia 72 tahun yang sudah menetap di perkampungan itu sejak 1980-an, membina rumah di pinggir laut bersama penduduk kampung.

Dia berkata, memandangkan Kampung Forest gagal mendapatkan watikah perkampungan sah, kawasan itu masih bergelar setinggan sehingga ke hari ini, walaupun kebanyakan penduduk di situ berstatus warganegara Malaysia.

Menurut Jumdanan, disebabkan kawasan berkenaan masih dikategorikan sebagai setinggan, pemasangan wayar untuk bekalan elektrik yang dibekalkan sebuah syarikat ke situ, dikatakan tidak kemas dan berbahaya.

Lebih sukar, katanya, penduduk dikenakan caj tinggi yang dikira berdasarkan jumlah peralatan elektrik dimiliki mereka di rumah.

“Contohnya, sebuah penghawa dingin dikenakan bayaran RM100 sebulan dan sebuah peti sejuk RM40 sebulan, tidak kira sama ada peralatan itu digunakan atau tidak. Ia menjadikan bil elektrik penduduk boleh mencecah RM150 hingga RM200, walaupun penduduk rata-rata adalah golongan B40,” katanya kepada Scoop.

Jumdanan berkata, sebelumnya, bukan sahaja bil elektrik mahal, malah bekalannya yang diterima penduduk tidak stabil sehingga banyak barangan elektrik mereka, seperti periuk nasi rosak berkali-kali.

Jumdanan Emau, 72, gembira dengan pemasangan elektrik di Kampung Forest menerusi sistem prabayar yang baru diperkenalkan di Sabah bulan lalu – Rebecca Chong/Scoop, 4 November, 2023

“Sekarang, selepas SESB membawa masuk syarikat untuk melaksanakan sistem prabayar, ia memastikan pemasangan wayar yang selamat dan canggih, di mana kami mendapat bekalan elektrik stabil dengan harga berpatutan.

“Sekarang, dengan peranan dimainkan SESB, penduduk hanya perlu membayar kira-kira RM30 hingga RM60 sebulan untuk bekalan elektrik lebih stabil dan selamat,” katanya.

Ketika ini, sebanyak 711 rumah di Kampung Forest mendapat bekalan elektrik stabil dan selamat daripada syarikat pengurusan elektrik swasta dilantik.

Sistem elektrik prabayar di perkampungan itu adalah projek perintis SESB, susulan keputusan kerajaan dan Suruhanjaya Tenaga bagi membanteras sambungan haram di kawasan setinggan di seluruh Sabah.

Menerusi projek itu, sejumlah RM3.5 juta sudah digunakan untuk pemasangan meter prabayar, tiang elektrik baharu dan pemasangan wayar elektrik di Kampung Forest, sebelum projek terbabit dimulakan pada hujung September lalu.

Data SESB menunjukkan, 25 peratus daripada gangguan bekalan elektrik, disebabkan aktiviti penyambungan elektrik secara haram dilakukan penduduk di kawasan koloni setinggan berhampiran.

SESB juga melaporkan kerugian RM4 juta tahun ini hingga Ogos dan RM21 juta pada 2022 akibat daripada penyambungan haram.

Manakala, statistik Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menganggarkan terdapat 31,470 rumah atau 224 koloni setinggan di seluruh negeri berkenaan, malah jumlah itu dijangka meningkat pada tahun hadapan.

Dengan kejayaan projek perintis itu, SESB bercadang memperluaskan projek terbabit ke kawasan setinggan lain di Sabah, termasuk di Pantai Barat, Sepanggar dan Batu Sapi, Sandakan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, SESB berharap semua pihak akan menyokong pelaksanaan projek inisiatif berkenaan.

Katanya, ia seterusnya menjadi langkah pertama SESB untuk menyelesaikan permasalahan permintaan bekalan elektrik sah dan selamat di kawasan koloni setinggan di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kami berharap projek ini bukan sahaja dapat menjamin keselamatan penduduk setempat, malah memastikan kestabilan bekalan elektrik kepada pengguna SESB serta mengurangkan kerugian syarikat ini akibat aktiviti penyambungan haram,” tambahnya. – 4 November, 2023

Topics

 

Hangat

Related