KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Bajet 2024), selepas selesai dibahaskan di peringkat dasar.
RUU Perbekalan 2024 itu diluluskan menerusi undian suara ketika sesi mesyuarat dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Sesi undian dibuat sejurus penggulungan perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat dasar oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira jam 6.50 petang.
RUU itu akan diteruskan untuk bacaan kedua dan dibahaskan di peringkat ahli jawatankuasa, sebelum dibawa ke Dewan Negara.
Seramai 85 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat dasar, bermula 16 Oktober lalu yang juga belanjawan kedua di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Ia dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari, disusuli penggulungan selama empat hari mulai 30 Oktober lalu.
Perdana Menteri membentangkan dokumen Bajet 2024 membabitkan peruntukan tertinggi dalam sejarah negara, bernilai RM393.8 bilion pada 13 Oktober lalu. – 2 November, 2023