KUALA LUMPUR — Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengingatkan pelajar tajaannya di Perancis bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menuntut ilmu memandangkan kos yang dikeluarkan Mara adalah RM600,000 bagi setiap orang.
Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kos berkenaan adalah bagi tempoh antara tiga hingga lima tahun pelajar terbabit menuntut ilmu di Perancis.
Ketika ini terdapat 149 pelajar tajaan Mara yang menuntut di negara tersebut.
“Semua wang yang Mara salurkan ini adalah wang rakyat yang punya matlamat agar pelaburan besar ini dimanfaatkan untuk mereka kembali menjadi manusia yang bermanfaat untuk agama, bangsa dan tanah air,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf berkata demikian dalam pertemuan dengan hampir 400 pelajar Malaysia termasuk 149 penuntut tajaan Mara di Perancis, dalam rangka lawatan beliau ke Eropah.
Pertemuan itu diadakan sebelum Asyraf meneruskan jadual kerja ke Berlin bagi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan beberapa institusi-institusi TVET di Jerman.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata beliau sempat menitipkan pesanan agar pelajar tersebut dapat menggali pengalaman dan khazanah ilmu sebaiknya sepanjang berada di perantauan.
“Namun, mesti sentiasa ingat Allah dan jangan sesekali melakukan perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah,’’ katanya. – 30 Oktober, 2023