KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan sepenuhnya bermula 1 November ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, subsidi bagi telur ayam gred A, B dan C pula akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.
Menurutnya, penamatan subsidi secara pukal bagi ayam dilaksanakan demi mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
“Penamatan harga kawalan ayam juga menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan, selain dapat meningkatkan pelbagai inisiatif sosioekonomi dan kebajikan rakyat termasuk bantuan wang tunai.
“Ia turut mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang di samping kos pengeluaran ayam telah stabil yang menyumbang kepada harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling,” katanya pada sidang media di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, hasil libat urus bersama pemain industri, kerajaan memberi jaminan harga ayam di ladang tidak akan mencatatkan kenaikan melampau sehingga membebankan pengguna.
Beliau menegaskan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akhap 2011) bagi memastikan tiada aktiviti pengambilan untung secara berlebihan serta manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggunjawab.
“Kerajaan juga bersedia untuk mendapatkan bekalan tambahan daripada sumber luar, jika terdapat kekurangan dari segi bekalan yang menyebabkan kenaikan harga mendadak, selain bekerjasama dengan semua pihak terlibat.
“Ini bagi memastikan status bekalan dan harga ayam di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat, di samping tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan di sepanjang rantaian bekalan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, walaupun kerajaan perlu menanggung RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam sejak Februari tahun lalu, pihaknya akan sentiasa memperkasakan industri tersebut melalui bantuan insentif dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak kecil dan sederhana.
“Kementerian juga turut menyediakan skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti serga program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.
“Kaedah berkenaan dilaksanakan bagi memberi peningkatan dari segi akses bekalan secara terus daripada penternak komuniti kepada pemborong di pasaran,” katanya. – 30 Oktober, 2023