KUALA LUMPUR – Selepas sembilan tahun berada di dalam industri muzik tanah air dan merangkul beberapa anugerah, penyanyi popular, Aina Abdul muncul dengan album sulungnya berjudul Imaji.
Album memuatkan 14 buah lagu baru yang diciptanya sendiri itu diterbitkan di bawah label produksinya, Aina Abdul Entertainment Sdn Bhd.
Menyifatkan album Imaji sebagai hadiah ulang tahun kelahiran paling bermakna buat dirinya, Aina berkata, ia juga buah tangan istimewa buat peminat setianya yang lama menantikan album sulungnya.
“Alhamdulillah, akhirnya saya berjaya merealisasikan impian sekian lama untuk memiliki sebuah album penuh yang diinspirasikan daripada perjalanan hidup saya sendiri.
“Setiap lagu dihasilkan adalah interpretasi saya terhadap emosi diri yang sarat, termasuklah marah, sedih, kecewa, diabaikan, dicintai, dihargai dan sebagainya.
“Secara peribadi saya meletakkan piawaian tinggi untuk album ini kerana Aina Abdul adalah seorang yang amat menitikberatkan soal mutu, kualiti muzik, bunyi dan gubahan dalam setiap karya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album Imaji.
Tambah pelantun lagu Sumpah itu, dia juga hampir berputus asa untuk menyiapkan album berkenaan kerana berperang dengan masa.
“Saya tak sangka album ini akhirnya siap juga sebab saya hampir putus asa kerana kesuntukan masa. Tambahan saya ada konsert dan nak siapkan video muzik.
“Saya sendiri tertanya-tanya sama ada boleh atau tidak saya siapkan album ini. Ada hari saya terpaksa rakam lagu pada waktu malam kerana siangnya saya ada persembahan. Sampaikan masa untuk keluarga juga terbatas,” jelasnya.
Ditanya adakah album itu dilancarkan sebelum menjelang konsertnya di Axiata Arena bagi menutup mulut pihak yang sering mempersoalkan kenapa dia mahu menghasilkan konsert sedangkan belum mempunyai album, Aina tidak menafikan perkara berkenaan.
“Ramai cakap kenapa nak pergi konsert Aina Abdul? Lagu dia berapa kerat sahaja. Benda macam ini buat saya ‘down’.
“Kalau kita tengok artis luar negara, ada yang hanya mempunyai dua lagu, tetapi tetap lakukan konsert. Kalau di luar negara boleh, kenapa di sini tidak boleh. Saya rasa stigma ini perlu diubah.
“Untuk penyanyi generasi baru macam saya, walaupun kita tak punya banyak lagu hit, kita masih boleh lakukan persembahan seperti ‘showcase’ dan sebagainya,” jelasnya.
Aina juga akui pernah terasa hati apabila Datuk Ramli MS (Tokram) mengeluarkan kenyataan setiap penyanyi perlu mempunyai album penuh untuk menganjurkan konsert sewaktu mereka sama-sama menjurikan program Big Stage.
“Sebenarnya waktu Tokram cakap begitu, saya menggeletar. Walaupun malam itu belum berakhir, saya sudah rasa semua orang sedang ketawakan saya. Saya dapat rasa orang sedang kata padan muka, padan muka.
“Ketika itu saya rasa tercabar dan rasa sangat kerdil ketika itu duduk bersebelahan dengan Tokram. Saya rasa seperti nak balik waktu itu. Kalau saya ada magik, saya nak siapkan album pada ketika itu juga dan tunjukkan padanya.
“Tetapi saya jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat untuk saya hasilkan album,” ujarnya.
Album Imaji akan mula dipasarkan secara digital pada 25 Oktober bersempena dengan tarikh lahir Aina.
Bagi album itu, Aina turut berkerjasama dengan empat penerbit tersohor seperti Mac Chew, Jenny Chin, Ezra Kong dan Affan Mazlan.
Antara lagu di dalam albumnya adalah Jangan Mati Rasa Itu, Imaji, Puas Sudah, Kejam, Bilang, Lost dan Penat Jiwa. – 24 Oktober, 2023