‘Itu penggambaran untuk majalah fesyen, takkan saya nak minta baju yang labuh’ Elisya Sandha pertahan isu berpakaian seksi

Menurut Elisya, dia bukannya tidak sensitif dengan konflik yang berlaku di Palestin, tetapi perlu memuatnaik foto dan video berkenaan mengikut 'dateline' yang ditetapkan

Elisya Sandha berkata, dia berpakaian sedemikian untuk penggambaran sebuah majalah fesyen dan terpaksa memuat naik kandungan itu mengikut masa yang telah ditetapkan. - Gambar Helmi Anuar/Scoop, 23 Oktober, 2023

KUALA LUMPUR — Pelakon jelita, Elisya Sandha mempertahankan tindakannya memuatnaik foto dan video berpakaian seksi di akaun media sosialnya dengan alasan atas tuntutan kerja.

Menurut Elisya atau nama lengkapnya Nur Elisya Sandha Hassan, 24, dia berpakaian sedemikian untuk penggambaran sebuah majalah fesyen dan terpaksa memuat naik kandungan itu mengikut masa yang telah ditetapkan.

“Itu adalah ‘dateline’ yang diberikan oleh pihak mereka. Saya nak cakap tidak pun tak boleh kerana itu adalah kerja saya. Apa yang saya kongsi di Instagram adalah kerja semata-mata,” katanya ketika ditemui pada sidang media Unifi Originals.

Ditanya apakah penerimaan ibu mentua dan suami mengenai isu ini, kata adik kepada Fasha Sandha ini, ibu mentuanya adalah seorang yang sangat memahami.

Elisya menjelaskan, apa yang dimuat naik di Instagram semata-mata untuk memenuhi keperluan kerja. – Gambar Helmi Anuar/Scoop, 23 Oktober, 2023

“Ibu mentua faham kerana dia juga berada dalam industri yang sama. Dia tahu kerja saya dan tahu saya memang begini sebelum kahwin lagi. Bukannya lepas dah kahwin baru saya macam ni.

“Alhamdulillah ibu mentua saya sangat baik. Dia tidak menghakimi saya.

“Suami pun okay sahaja kerana dia juga faham dengan kerja. Tetapi ada juga dia menegur jika kandungan yang saya muatnaik terlalu seksi. Jadi saya akan padam,” jelasnya.

Ditanya adakah dia memang seorang yang berpenampilan seksi, kata Elisya dia hanya akan berimej seksi untuk penggambaran majalah.

“Untuk berada dalam majalah, anda perlu berani untuk jadi berbeza. Itu yang saya bayangkan.

“Pada saya perkara ini adalah okay. Ini adalah satu tuntutan dalam kerjaya saya. Ia adalah untuk majalah Glam. Takkanlah saya nak minta pakai baju labuh.

“Tetapi saya juga ada batas. Tak boleh nampak lurah dada dan pakaian yang terlalu pendek.

“Setakat pakai baju tanpa lengan, saya rasa ada ramai lagi yang pakai baju seperti itu,” ujarnya.

Elisya sebelum ini menjadi bahan kecaman netizen selepas dia memuatnaik foto dan video berpakaian seksi untuk penggambaran majalah Glam. Rata-rata netizen meluahkan kekesalan mereka kerana dia dikatakan tidak sensitif dengan situasi semasa di mana pada ketika ini ramai yang sedang bersoladiriti terhadap Palestin. – 23 Oktober 2023