KUALA LUMPUR – Kebanyakan pemohon taraf warganegara dalam kalangan golongan warga emas, gagal ujian penguasaan bahasa Melayu, sekali gus menjadi kekangan kepada proses permohonan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ujian penguasaan bahasa Melayu adalah antara syarat bagi permohonan warganegara Malaysia.
Katanya, di luar negara, penguasaan bahasa rasmi atau pertuturan negara berkenaan adalah amalan terbaik yang diteliti kementerian, iaitu mereka yang memohon warganegara dikehendaki boleh berbahasa bahasa rasmi negara berkenaan.
“(Di KDN) Markah tidak lulus (ujian penguasaan bahasa Melayu) adalah satu dan markah lulus lapan…kadang-kadang mereka yang dapat (markah) dua pun, hanya boleh ucap ‘terima kasih’ kita luluskan.
“Kebanyakan mereka yang usia lama ini, terlalu fasih dalam bahasa asing…ini antara kekangan KDN (Kementerian Dalam Negeri) hadapi,” katanya pada sesi Pertanyaan Jawab Lisan pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) berhubung permohonan warganegara golongan warga emas yang tidak diluluskan, selain mengambil masa lama untuk diluluskan.
Menjawab soalan tambahan Lo Su Fui (GRS-Tawau) berhubung dakwaan ketidakseriusan KDN mengenai isu permohonan taraf warganegara, Saifuddin berkata, dalam tempoh 10 bulan, sebanyak 10,381 permohonan warganegara diberi keputusan dengan majoriti kes membabitkan permohonan kanak-kanak.
“Kebanyakan permohonan membabitkan kes anak angkat dan kanak-kanak tidak sah taraf…mereka tak boleh ke sekolah dan terpaksa bayar bil hospital mahal (kerana tiada taraf warganegara).
“Kita minta pegawai di KDN selesaikan ini dahulu, sebaliknya kita ditohmah luluskan puluhan ribu permohonan warganegara kepada rakyat China, ini jahat,” katanya.
Menjawab soalan asal Lo berhubung penyelesaian isu penduduk tidak mempunyai dokumen lengkap untuk permohonan warganegara, Saifuddin menegaskan, beberapa inisiatif dilaksanakan, termasuk Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).
Program itu, katanya, bagi membantu rakyat, khususnya di kawasan pedalaman mendapatkan dokumen lengkap dan urusan pemohonan warganegara. – 23 Oktober, 2023