KUALA LUMPUR – Set pertama perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi atau aerotrain yang baharu dan ditambahbaik hampir siap dan dijangka dihantar ke Malaysia tahun depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, aerotrain untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu akan memiliki ruang dalaman lebih luas dan tingkap lebih besar untuk keselesaan penumpang.
Menurutnya, ia turut dilengkapi kerusi yang terhad dalam setiap set yang direka untuk penumpang warga emas.
“Saya berada di kilang pemasangan aerotrain di Wuhu, China, yang merupakan usaha sama antara Alstom dan syarikat CRRC. Saya diberi taklimat bahawa set pertama mempunyai tiga kereta dan hampir 90 peratus siap.
“Jadi saya amat berharap MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd) dapat menyelesaikan isu kontraknya dengan kontraktor (sebelum ini) agar perkhidmatan aerotrain di KLIA dapat dikembalikan secepat mungkin,” katanya menerusi video yang dimuatnaik di Instagram miliknya.
Perkhidmatan aerotrain menghubungkan bangunan terminal utama KLIA ke terminal satelitnya.
Pada Mac lalu, MAHB berkata, pihaknya telah memulakan program penggantian aerotrain pada 2022 kerana aerotrain asal berada di penghujung hayatnya sejak ia beroperasi kira-kira 25 tahun lalu.
Pada 16 Ogos lalu, MAHB membatalkan perjanjian RM742.95 juta yang dianugerahkan kepada Pestech International Bhd (PTSB) untuk pembinaan dan penyediaan aerotrain itu kerana syarikat terbabit gagal memenuhi garis masa projek yang ditetapkan.
MAHB menerusi satu kenyataan memaklumkan, projek itu dianugerahkan kepada Pestech pada Disember 2021 berikutan proses tender yang kompetitif.
“Pestech didapati melanggar kewajipannya di bawah kontrak dan gagal untuk memperbetulkan perkara yang sama dalam tempoh masa ditetapkan,” katanya.
Keputusan untuk menamatkan kontrak berpunca daripada pelbagai faktor, terutamanya ketidakupayaan PTSB untuk memenuhi kewajipannya, mengakibatkan kemerosotan yang ketara pada pencapaian penting projek.
Antara lain, MAHB berkata, penamatan itu disebabkan oleh ketidakprestasian PTSB yang menjejaskan pencapaian penting projek dan berisiko menyebabkan kelewatan dalam penyampaian projek dalam tempoh ditetapkan. – 22 Oktober, 2023