SHAH ALAM – Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden dipilih sebagai Ketua Pemuda PAS baharu bagi penggal 2023-2025.
Afnan menang tanpa bertanding selepas tiada individu menghantar pencalonan bagi merebut jawatan itu.
Beliau sekali gus menggantikan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang tidak mempertahan jawatan tersebut.
Keputusan itu diumum Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Muktamar PAS Pusat kali ke-69, Ab Halim Tamuri.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi, Hafez Sabri pula dipilih sebagai timbalan ketua pemuda manakala Muhammad Hanif Jamaluddin, naib ketua pemuda.
Kedua-duanya juga menang tanpa bertanding.
Jawatan timbalan dan naib ketua pemuda PAS sebelum ini disandang Afnan dan Hanafi Zulkapli.
Pertandingan sayap pemuda hanya membabitkan jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS bagi merebut 12 kerusi dengan menyaksikan 15 calon bertanding.
Mereka yang dipilih adalah Khairul Nadzir Helmi Azhar, Abdul Malik Ab Razak, Wan Abu Bakar Wan Mahussin, Muhd Khidhir Izaidin, Yusof Abdul Hadi, Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir, Mohd Harun Esa, Muhammad Faizuddin Mohd Zai, Mohd Aizat Zakaria, Muhammad Abdul Malik Abdul Karim, Hendri Hamshah dan Muhammad Afiq Mazlan.
Daripada 12 senarai AJK baharu itu, empat daripadanya muka baharu. – 19 Oktober, 2023