KUALA LUMPUR — Pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu Palestin mendapat pujian daripada Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.
Menulis di dalam Facebooknya, Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata pendirian Anwar itu patut dipuji dan dibanggakan.
”Pendirian PMX dalam isu Filistin (Palestin) patut kita puji dan bangga…” katanya.
Anwar sebelum ini menegaskan pendirian Malaysia untuk terus bersama dalam perjuangan rakyat Palestin malah pada 10 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan menyalurkan dana RM1 juta serta-merta kepada tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) kendalian Kementerian Luar.
Hari ini, tabung tersebut telah mencecah RM81 juta hasil sumbangan daripada beberapa syarikat korporat negara sebagai tanda solidariti terhadap penderitaan penduduk Palestin.
Jumlah tersebut termasuk RM10 juta yang disumbangkan kerajaan Malaysia sebagai dana awal untuk disalurkan kepada mangsa peperangan di negara berkenaan, seperti diumumkan pada pembentangan Bajet 2024.
Sasaran AAKRP adalah RM100 juta dan Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kutipan tabung itu akan disalur terus kepada penduduk di Gaza bagi kegunaan perubatan, makanan, minuman serta kemudahan asas rakyat Palestin yang terjejas ketika ini.
Serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober lalu telah mengorbankan lebih 3,300 orang, dengan satu pertiga daripada jumlah berkenaan adalah kanak-kanak.
Susulan keadaan berkenaan, protes diadakan di seluruh dunia malah di Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO) telah mengadakan himpunan aman Palestin sebagai tanda solidariti,pada 13 Oktober lalu. – 19 Oktober, 2023