KUALA LUMPUR – Peserta perhimpunan bagi memprotes serangan Israel ke atas sebuah hospital di Gaza, kecewa kerana mereka tidak dibenarkan masuk ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) untuk menyerahkan memorandum.
Menurut mereka, berlaku kekecohan selepas peserta dihalang oleh polis daripada memasuki kawasan berkenaan, kira-kira 100 meter daripada kedutaan.
Namun keadaan keadaan kembali tenang selepas polis mengawal keadaan dan meminta semua peserta mengadakan bantahan sehingga jam 10 malam sahaja.
Seorang peserta, Hussein Behesyti Mustafa, 25 berkata, meskipun kesal namun dia menghormati tindakan yang diambil oleh polis yang menjalankan tugas.
“Polis tidak bersalah kerana mereka menerima arahan daripada wakil duta AS agar tidak membenarkan kami untuk serah memorandum. Tindakan ini menjadikan saya bertambah geram dan marah dengan negara terbabit.
“Kalau ini caranya, kita harap Kerajaan Malaysia memberi pengajaran kepada negara tersebut. Mungkin sudah tiba masanya kita mengabaikan AS dan lebih memfokuskan kepada pelbagai bentuk bantuan kepada Palestin namun saya tahu ia sukar dilaksanakan,” katanya kepada Scoop ketika ditemui malam ini.
Seorang lagi peserta, Syed Abdul Ghani Adam, 45, yang juga seorang pekerja swasta berkata, sikap AS yang tidak melayan suara rakyat Malaysia perlu dihentikan apatah lagi Malaysia tidak mempunyai apa-apa kepentingan.
“Amerika Syarikat tidak kisah terhadap apa dilakukan Israel walaupun secara jelas ia telah melanggar hak asasi manusia serta melanggar peraturan dalam berperang,” katanya.
Sementara itu, pesara kerajaan, Zaini Ahmad memaklumkan dia nekad menyertai himpunan solidariti itu semata-mata untuk memberikan sokongan kepada penduduk Palestin di Gaza yang kini sedang dibedil oleh Israel.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan lebih 3,000 rakyat Palestin terkorban dalam serangan berterusan zionis di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu. – 18 Oktober, 2023