Penyanyi legenda Hariharan kembali dalam konsert bersama anaknya di Pulau Pinang, hujung tahun ini

Konsert The Legend Hariharan itu akan turut menampilkan anaknya, Akhsya Hariharan dan beberapa penyanyi muda berbakat lain.

Padma Shree Hariharan akan kembali ke Malaysia untuk menghiburkan peminat dalam sebuah konsert berjiwa muda di Pulau Pinang - Gambar Instagram, 18 Oktober, 2023

KUALA LUMPUR – Atas permintaan ramai, pakar muzik fusion India yang juga penyanyi legenda untuk lagu latar filem, Padma Shree Hariharan akan kembali ke Malaysia untuk menghiburkan peminat dalam sebuah konsert berjiwa muda di Pulau Pinang.

Kali terakhir penyanyi terkenal ini membuat persembahan adalah di Putrajaya apabila beliau membuat persembahan di hadapan 2,500 peminat dan sejak itu terdapat permintaan besar daripada peminatnya di Malaysia untuk mengadakan konsert seterusnya.

Konsert yang dinamakan The Legend Hariharan itu akan diadakan di Spice Arena, Pulau Pinang pada 16 Disember ini, bermula jam 7 petang.

Mengulas mengenai konsert itu, Hariharan berkata, ia sangat penting kerana persembahan tersebut adalah yang pertama kali diadakan di Pulau Mutiara.

“Ramai penyanyi muda yang sedang meningkat naik akan menyertai saya kali ini dan akan ada segmen konsert khas untuk golongan belia.

“Anak saya, Akshay Hariharan juga akan menyertai saya dan latar belakangnya dalam bidang elektronik muzik akan menggemakan orang muda.”

“Apa yang boleh saya katakan, kami benar-benar akan mengegarkan persembahan pada malam itu nanti,” katanya.

Konsert itu nanti akan turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi dan pelakon Malaysia, Mugen Rao (hujung kanan) yang pernah memenangi program Tamil Nadu Bigg Boss India Musim 3 pada 2019 – Gambar ihsan Hello Creative, 18 Oktober, 2023

Hariharan yakin semua peminat akan mendapat apa yang diinginkan mereka kerana beliau akan membawakan pelbagai genre lagu popular yang pernah dirakamkannya sepanjang 46 tahun kerjayanya dalam bidang seni.

Dianjurkan Hello Creative iaitu syarikat pengurusan acara besar yang berpusat di Georgetown, konsert itu nanti akan turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi dan pelakon Malaysia, Mugen Rao yang pernah memenangi program Tamil Nadu Bigg Boss India Musim 3 pada 2019.

Mugen yang bakal membuat persembahan bersama Hariharan berkata, dia sememangnya teruja untuk berkongi pentas dengan penyanyi legenda seperti Hariharan dan tidak sabar bertemu peminat di dalam konsert tersebut.

Selain Mugen, penyanyi lain yang turut membuat persembahan dalam konsert itu adalah Stephen Devassy, seorang pemuzik yang pernah memenangi anugerah dan pernah bekerja dengan beberapa pemuzik tersohor India iaitu Sivaangi Krishakumar Teejay Arunalsan serta penyanyi muda berbakat Sivaangi Krishakumar dan Srinisha Jayaseela.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hello Creative, Sujen Sivamani berkata, antara sebab mengapa Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi konsert itu adalah kerana 16 Disember adalah hujung minggu dan ia cukup sesuai untuk peminat dari negeri lain datang bersantai.

Pasangan DJ iaitu Navz dan Deepika Nikkman akan menghiburkan penonton dalam konsert yang dianjurkan syarikat pengurusan acara tersebut.

Untuk rekod, sepanjang 46 tahun kerjaya seninya, Hariharan telah merakamkan 500 lagu Tamil, 200 lagu Hindi dan hampir 30 album ghazal hingga saat ini.

Selain Tamil dan Hindu, beliau turut merakamkan lagu dalam pelbagai bahasa sub-etnik India iaitu Malayalam, Kannada, Marathi, Bhojpuri, Telegu dan lain-lain.

Beliau juga diiktiraf sebagai perintis muzik fusion India dan telah dikurniakan gelaran Padma Shri daripada kerajaan India pada 2004 serta memenangi dua anugerah National Awards.

Hariharan mula mencipta kemasyhuran di peringkat antarabangsa selepas melancarkan album fusion, Colonial Cousins dengan komposer dan penyanyi yang berpengkalan di Mumbai, Leslie Lewis pada 1996.

Bahkan, Colonial Cousins juga dikatakan menjadi artis India pertama yang ditampilkan dalam MTV Unplugged.

Untuk maklumat lanjut tentang harga tiket, sila layari http://www.ticket2u.com.my. – 18 Oktober, 2023