KUALA LUMPUR — Bagaikan tidak percaya, itulah yang boleh digambarkan kebanyakan rakyat Malaysia apabila melihat supermodel terkenal dunia, Naomi Campbell berjalan di pertunjukan fesyen pereka fesyen terkenal tanah air, Rizman Ruzaini pada Minggu Fesyen Dubai yang berlangsung malam tadi.
Naomi tampil memukau memperagakan adibusana rekaan Rizman Ruzaini sebagai penutup pertunjukan fesyen yang berlangsung di Dubai itu.
“Mimpi jadi kenyataan”, tulis pereka duo ini di Instagram rasmi mereka sambil berkongsi foto berpimpin tangan bersama Naomi.
Rizman Ruzaini telah diundang untuk memperagakan rekaan koleksi adibusana mereka di Minggu Fesyen Dubai yang turut disertai oleh jenama dan pereka fesyen terkenal dunia seperti Carolina Herrera dan Tom Ford.
Lebih membanggakan, Rizman Ruzaini turut diberi penghormatan untuk menjadi penutup Minggu Fesyen Dubai.
Pertunjukan fesyen ini mendapat liputan meluas media antarabangsa termasuk majalah Vogue Arabia dan Vogue India yang telah berkongsi video pertunjukan fesyen ini.
Antara selebriti Malaysia yang turut hadir pada pertunjukan fesyen ini ialah Azah Aziz, Marion Caunter dan supermodel kelahiran Malaysia, Tinie yang turut berjalan di pertunjukan fesyen ini. – 16 Oktober 2023