KUALA LUMPUR – Tempoh pemprosesan pensijilan halal telah dipendekkan daripada 51 hari kepada 30 hari khususnya untuk pengeksport produk halal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata proses berkenaan akan dikendalikan bersama-sama Halal Development Corporation dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kerajaan akan memendekkan tempoh memproses pensijilan halal daripada 51 kepada 30 hari. Halal Development Corporation (HDC) bersama-sama Jakim akan menerajui usaha memudah cara pemprosesan pensijilan halal khususnya untuk pengeksport produk halal,” katanya.
Selain itu, selaras dengan Pelan Induk Industri Halal 2030 sebanyak sembilan institusi kewangan akan menawarkan program khusus untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) halal.
“Platform bersepadu halal yang menawarkan akses kepada dana khas dan program bina upaya ini menjadi penanda aras sumbangan industri halal sebanyak 11 peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) menjelang 2030,” katanya. – 13 Oktober, 2023