Piala Dunia 2023: Virat pemukul kriket terbaik dunia, tetapi dia pemain berkelakuan buruk, kritikan Naseeruddin Shah tersebar semula

Aktor veteran itu memang dikenali sebagai individu lantang bersuara dan gemar berterus-terang dengan kenyataan dibuatnya, sekali pun ia cukup pahit untuk diterima

Dalam satu wawancara, Naseeruddin Shah berkata, dia mengagumi Virat Kohli, tetapi pemain kriket itu juga harus mempunyai kelakuan bermaruah - Gambar Instagram, 7 Oktober, 2023

KUALA LUMPUR – Saat ini, pemain kriket Virat Kohli yang juga suami kepada aktres Anushka Sharman, sudah membuat persediaan berhadapan dengan pasukan Australia untuk Piala Dunia Kriket 2023.

Namun, saat ini, ramai yang teringat semula kata-kata pelakon veteran Bollywood, Naseeruddin Shah bahawa dia adalah pemain kriket paling teruk.

Kenyataan dibuat Naseeruddin itu bagaimanapun tidak dapat diterima peminat Virat, bahkan mereka menyelar Naseeruddin kerana mengkritik pemain kriket tersebut.

Mereka juga memberitahu Naseeruddin, jika dia mempunyai masalah dengan Virat, dia boleh meninggalkan India.

Naseeruddin mengeluarkan kenyataan itu di laman sosialnya pada 2017.

Menurutnya, Virat sememangnya pemukul kriket terbaik di dunia tetapi dia juga adalah pemain berkelakuan buruk.

“Kecemerlangan kriketnya hilang di samping keangkuhan dan perangai buruknya. Dan saya tidak berhasrat untuk meninggalkan India,” katanya.

Walaupun kenyataan itu adalah pada 2017, nampaknya ia sekali lagi timbul dan meraih perhatian ramai ketika ini.

Apapun, Virat tidak memilih untuk bertindak balas terhadap kenyataan Naseeruddin Shah yang tersebar luas di internet.

Naseeruddin dikecam peminat Virat yang meminta dia untuk menarik balik kata-katanya dan mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka.

Bagaimanapun, apa yang mengejutkan, ada segelintir bersetuju dengan dakwaannya bahawa Virat pemain paling berkelakuan buruk.

Dalam satu wawancara, Naseeruddin berkata, dia mengagumi Virat, tetapi pemain kriket itu juga harus mempunyai kelakuan bermaruah.

“Saya sentiasa mengagumi permainan Virat. Saya bukan orang bodoh. Saya tahu sedikit tentang kriket. Saya tidak mengagumi sikapnya di padang dan seseorang harus memberitahunya bahawa agak mudah untuk membaca bibir dalam gerakan yang sangat perlahan. Dia harus benar-benar memikirkan contoh yang dia ingin tunjukkan,” katanya.

Apakah Virat mengambil kata-kata nasihat Naseeruddin ini sekadar di angin lalu atau ia benar-benar membuatkan dia berubah pada kali ini?

Kita tunggu dan lihat bagaimana corak permainan ditunjukkannya pada Piala Dunia Kriket 2023 nanti. – 7 Oktober, 2023