Dianggap tak mampu bayar seafood, ‘saya hanya ketawa bila dikecam netizen, dah lali, KPDN pun sudah menyiasat dan…’: Ekin

Katanya, selepas dia memuat naik isu terbabit, ramai netizen menghantar DM kepadanya memberitahu mereka juga pernah 'terkena' di kedai yang sama

Netizen juga berpendapat, Ekin dan Mawi sengaja mencetuskan isu sedemikian untuk meraih perhatian - Gambar Instagram, 6 Oktober, 2023

KUALA LUMPUR – Isteri kepada artis versatil Mawi, Ekin memberitahu dia sudah lali dikecam netizen sejak zaman sebelum berkahwin lagi, bahkan hanya akan ketawa setiap kali menerima kecaman tersebut.

Respons itu diberikan Ekin tatkala disoal mengenai pandangannya terhadap kecaman netizen yang menganggap dia tidak mampu membayar menu hidangan laut berharga RM1,260 di sebuah restoran di Johor Bahru, baru-baru ini.

Netizen juga berpendapat, Ekin dan Mawi sengaja mencetuskan isu sedemikian untuk meraih perhatian.

“Saya sudah biasa dikecam. Dah lali pun. Mereka yang membuat kecaman itu tidak berada di tempat saya dan mereka tidak kena. Bila saya tengok balik komen-komen itu, ada di antaranya adalah akaun palsu.

“Masalahnya di sini, bukan saya tidak mampu bayar harga sebanyak RM1,260. Tapi, masalahnya di sini kedai makcik itu tidak letak harga. Berapa gram untuk setiap jenis ikan. Malah, tidak timbang pun ikan yang diambil.

“Lagi satu harga air untuk tiga jar adalah sebanyak RM160 lebih. Takkan harga tiga jar sebanyak itu. Bila kita buat bising, dia cakap, oh dah masuk otak-otak,” katanya.

Dia berkata, bila makcik itu membuat video untuk menjelaskan perkara terbabit, resit ditunjukkan adalah resit kedua.

“Resit pertama yang diberi tidak mempunyai apa-apa penjelasan langsung. Lepas itu makcik itu kata saya dan keluarga datang seramai 20 orang.

“Saya ada gambar sebagai bukti. Saya datang bersama keluarga, termasuk keluarga Mawi. Orang dewasa seramai 10 orang dan kanak-kanak termasuk baby (bayi) enam orang. Jadi dari mana datangnya 20 orang itu?” soalnya.

Ekin menjelaskan, sebenarnya dia malas memanjangkan isu sedemikian kerana perkata itu juga sudah sampai ke pengetahuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Jelasnya, KPDN sudah datang menyiasat dan mengeluarkan notis ke atas premis makcik itu.

Menurutnya, justeru, beliau merasakan kehadiran pihak KPDN sudah mencukupi baginya untuk menjelaskan perkara berkenaan.

“Saya hanya mahu perkara ini clear (jelas). Saya muat naik mengenai perkara ini sebab saya tertanya, takkan harga sebanyak itu? Sedangkan benda lebih kurang sama yang saya selalu ambil di kedai sebelah, iaitu kedai seorang kenalan, tapi harganya tidak cecah sampai RM1,200 lebih. Selalunya antara sekitar RM800 hingga RM900.

“Tapi, pada hari itu kedai kenalan saya tutup dan kedai makcik terbabit beroperasi, malah makcik itu yang memanggil kami datang makan di kedainya.

“Mawi pula kesian melihat kedai makcik itu kosong dan berkata tidak apalah kita kongsi rezeki dengan makcik itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Ekin berkata, selepas memuat naik isu harga makanan laut dijual di kedai makcik itu, ramai netizen menghantar DM (mesej peribadi) menerusi media sosial kepadanya.

“Orang yang DM saya ini memberitahu mereka juga pernah berdepan perkara sama di kedai makcik ini.

“Rupanya diaorang pun terkena juga. Apapun, saya tetap doakan agar perniagaan dia halal dan mendapat berkat,” katanya.

Selasa lepas, tular video berdurasi 26 saat dan sekeping gambar resit menunjukkan harga berjumlah RM1,260 dikenakan restoran makanan laut yang dimuatnaik Ekin menerusi Instagram – Gambar media sosial, 6 Oktober, 2023

Sementara itu, KPDN Johor dilapor sudah memberikan notis justfikasi kepada pengendali premis terbabit.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, tindakan awal terhadap peniaga itu dibuat pada jam 5.30 petang kelmarin, mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana meletakkan harga mengelirukan.

Beliau memaklumkan, restoran makanan laut itu juga diberi notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 supaya mengemukakan butiran maklumat untuk pengiraan, sama ada terdapat elemen pencatutan atau sebaliknya.

“Peniaga terbabit diberikan tempoh empat hari bermula semalam untuk memberi maklum balas terhadap notis dikeluarkan KPDN Johor, dengan mengemukakan justifikasi dan maklumat terperinci.

“Tindakan ini bertujuan memastikan sama ada betul atau tidak dakwaan pelanggan bahawa peniaga itu mengenakan kadar harga meragukan, selain terlalu tinggi supaya tidak timbul sebarang isu berbangkit,” katanya.

Selasa lepas, tular video berdurasi 26 saat dan sekeping gambar resit menunjukkan harga berjumlah RM1,260 dikenakan restoran makanan laut yang dimuat naik Ekin menerusi Instagram.

Menerusi hantaran video dan gambar berkenaan, Ekin meluahkan ketidakpuasan hatinya dengan mendakwa harga dikenakan terhadapnya terlampau mahal.

Bagaimanapun, menerusi satu video berdurasi dua minit yang turut tular, peniaga makanan laut itu memberi penjelasan berhubung perkara berkenaan.

Katanya, harga dikira itu adalah bagi hidangan dipesan untuk seramai 20 orang. – 6 Oktober, 2023