Elak watak hero, Nadhir Nasar akui bukan tolak tuah tetapi…

Ketika ini, pelakon itu lebih selesa membawa watak pembantu ataupun drama anti-hero

Pelakon, Nadhir Nasar pada sidang media siri televisyen 'Super Wira' di TGV Cinema Pavilion Bukit Jalil. - Gambar Scoop, 3 Oktober, 2023

KUALA LUMPUR  – Pelakon yang semakin meningkat naik, Nadhir Nasar mengakui dia belum lagi berkesempatan untuk membawakan watak utama dalam mana-mana naskhah dilakonkan.

Menurut Nadhir atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 26, pada ketika ini dia lebih selesa membawa watak ‘second lead’ ataupun watak pembantu.

Aktor meningkat naik yang cukup popular menerusi Project High Council ini selesa membawakan watak pelakon pembantu. – Gambar Scoop, 3 Oktober, 2023

“Sama ada anda sedar ataupun tidak, sampai sekarang saya belum pernah ambil watak hero lagi. Saya memang cuba mengelak watak itu buat masa sekarang. Mungkin ada yang cakap saya tolak tuah dan rezeki.

“Tetapi pada saya, saya rasa saya perlu meneroka masa muda saya. Waktu inilah saya perlu cuba watak antagonis ataupun watak yang memerlukan perasaan.

“Saya berada di sini untuk satu jangka masa yang lama. Saya percaya kepada rezeki Tuhan. Jika bukan sekarang, pasti nanti akan ada lagi,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Super Wira.

Klip video pertarungan di antara Nadhir Nasar dengan Beto Kusyairi sambil terbang di udara dengan berlatarbelakangkan bangunan ikonik, Menara Berkembar Petronas di KLCC telah mengundang pelbagai komen lucu. – Gambar tangkap layar, 3 Oktober, 2023

Kongsi juara Hero Remaja 2020 itu lagi, dia ada ditawarkan beberapa watak utama tetapi belum yakin untuk menggalas watak tersebut.

“Dengan ilmu yang saya ada sekarang ini, untuk bawa watak hero saya rasa belum lagi.  Bila berlakon ini akan melibatkan ramai orang. Bila melibatkan ramai orang, kita perlu menjaga keharmonian agar perjalanan lancar sewaktu penggambaran.

“Saya lebih gemar terima watak untuk naskhah yang anti-hero seperti Projek High Council. Atau watak yang memerlukan saya berduka,” katanya yang mengidam watak hero seperti ustaz Adam dalam drama Nur. 

Dalam drama terbarunya Super Wira, Nadhir bakal membawakan watak antagonis yang diberi nama Roy. – Gambar Scoop, 3 Oktober, 2023

Bercerita mengenai drama terbarunya, Super Wira yang akan ditayangkan di saluran Astro Ceria, Nadhir memaklumkan dia membawa watak antagonis sebagai Roy.

“Saya teruja dapat berlakon dalam naskhah ini. Saya memang sudah lama mengidam untuk berlakon di bawah arahan Ghaz Abu Bakar.

“Jalan cerita drama ini juga sangat fresh (segar). Barisan pelakon pula hebat belaka seperti Beto Kusyairy, Mira Filzah, Zizan Razak, Ezzaty Abdullah, Idan Aedan dan Arena Wan.

“Saya tak sabar untuk penonton saksikan apa yang kami sediakan menerusi drama ini. Saya takut mereka tak puas sahaja kerana drama ini hanya ada tujuh episod dan hanya ditayangkan selama 30 minit,” katanya.

Drama Super Wira akan menemui penonton di saluran Astro Ceria bermula 23 Oktober, setiap Isnin pada jam 9 malam. – 3 Oktober 2023