KUALA LUMPUR – Biarpun telah memegang pelbagai watak dalam setiap drama yang dilakonannya termasuk watak air mata, namun pelakon muda, Trisha Ooi, 23, mengakui dia masih tetap mengejar impiannya untuk bergelar pelakon wanita filem aksi.
Bahkan, Trisha atau nama sebenarnya, Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 24, yang memulakan kerjaya sebagai pelakon lagak ngeri sebelum terjun ke dunia lakonan secara serius pada 2021, mengakui, sangat mengidolakan Tan Sri Michelle Yeoh.
“Impian saya memang mahu menjadi pelakon wanita filem aksi dan saya juga sangat mengidolakan Michelle. Tapi, untuk sampai ke tahap itu kita kena membawakan karakter lain.
“Bila saya mula serius berlakon, saya jatuh cinta dengan bidang ini. Saya boleh katakan lakonan adalah passion saya. Saya tidak akan mengatakan tidak pada genre-genre lain untuk lakonan tetapi matlamat saya tetap mahu buat filem aksi kerana aksi adalah forte saya,” katanya.
Mempunyai pengalaman selama enam tahun sebagai pelakon lagak ngeri bermula pada 2017, gadis kacukan Cina-Melayu ini yang bakal muncul dengan watak Sui Lin dalam filem Pagari Bulan memberitahu, dia sememangnya gemar melakukan aktiviti yang lasak.
“Selain boleh membawa motorsikal berkuasa tinggi dan berlumba kereta, saya juga pernah mempelajari beberapa seni mempertahankan diri seperti silat, taekwando dan tinju,” katanya.
Tidak hairanlah mengapa dia menjadi pilihan beberapa pengarah filem untuk terlibat dalam filem-filem bergenre aksi penuh misalnya Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang ditayangkan di pawagam pada tahun lepas dan Janna Enduro yang akan keluar pada tahun ini.
“Dalam Coast Guard Malaysia: Ops Helang arahan Allahyarham Pitt Haniff saya memegang watak antagonis. Dalam filem itu saya banyak melakukan babak berlawan. Dalam filem Janna Enduro pula saya akan beraksi dengan motor scrambler,” katanya.
Mengulas mengenai wataknya sebagai Sui Lin dalam Pagari Bulan arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin pula, walaupun dia berpeluang melakukan babak aksi di dalam filem tersebut, namun wataknya agak kontras.
“Seperti mana Bulan, Sui Lin juga adalah antara gadis-gadis yang dijadikan comfort woman oleh tentera-tertera Jepun. Ia satu karakter yang mencabar saya dari sudut emosi. Masa pembikinan filem ini dibuat dan masa tengok trailer filem ini pun, hati saya sudah meleleh.
“Sebab kalau kita faham konteks, Pagari Bulan menceritakan pengorbanan dan maruah wanita serta persahabatan Sui Lin dan Bulan. Masa saya mula-mual dapat naskhah filem ini, saya tak cakap banyak.
“Saya terima sebab ia satu karakter yang membuka ruang dan peluang untuk saya meluaskan skill lakonan. Yang kedua, saya lakonkan watak Sui Lin saya dapat rasakan pengorbanan dia, bulan serta wanita-wanita lain yang perlu jalani kehidupan sebegitu demi untuk survival.
“Bila dapat naskhah ini dan bila saya buat kajian sendiri, ia memang diangkat daripada kisah benar yang berlaku pada zaman itu. Sebelum ini, kita hanya tahu perkara-perkara ini melalui sejarah daripada buku-buku. Tapi, ia kini divisualnya.
“Saya rasa usaha memvisualkan kisah benar ini perlu dihargai dan saya rasa orang zaman sekarang sangat bertuah sebab tidak perlu lalui zaman itu,” katanya.
Dia juga mengakui berdepan dengan kesukaran kerana perlu bercakap dalam loghat Kelantan serta bercakap dalam bahasa Hokkien dengan bapanya yang dilakonkan Michael Ang.
“Saya memang boleh berbahasa Cina kerana ayah saya adalah orang Cina. Tapi bahasa Cina yang saya boleh kuasai adalah Mandarin bukannya Hokkien. Tapi, beberapa pelakon filem ini iaitu Alvin dan Chelsia banyak membantu saya untuk menuturkan dialog Hokkien,” katanya. – 30 September, 2023