KUALA LUMPUR – Semua ahli PAS yakin dan percaya kepada kemampuan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang untuk terus kekal memimpin parti Islam itu, kata Timbalan Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menurut Tuan Ibrahim, keyakinan itu berdasarkan kepada pencapaian pentadbiran Hadi terutama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang disifatkan terbaik dalam sejarah parti.
“Saya yakin semua ahli parti mahu agar Haji Hadi terus memimpin PAS dan pencapaian di era beliau adalah terbaik dalam sejarah parti. Semua asas kejayaan hari ini juga hasil dari perjuangan pimpinan lampau yang berjaya meletakkan batu asas yang kukuh,” katanya kepada Scoop hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini, bahawa lima jawatan tertinggi parti iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden tidak akan dipertandingkan pada Muktamar Tahunan PAS ke-69 yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.
Beliau berkata, ini kerana hanya ada masing-masing satu pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden, manakala satu daripada empat calon naib presiden telah menarik diri.
Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, pemilihan tahun ini hanya membabitkan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, dengan 18 ahli jawatankuasa serta jawatan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap.

Sebelum ini Tuan Ibrahim memaklumkan PAS sentiasa terbuka malah sesiapa pun boleh dicalonkan menduduki jawatan tertinggi parti termasuk presiden dan timbalan dalam pemilihan muktamar nanti.
Pemilihan parti tidak menjadi keutamaan atau perebutan, kerana semua memahami ianya adalah suatu amanah bukannya Ghanimah (harta rampasan).
Hadi mula memangku jawatan Presiden PAS pada 2003 selepas kematian presiden ketika itu, Datuk Fadzil Mohd Nor sebelum beliau disahkan sebagai presiden pada muktamar 2005.
Pada PRU-15 lalu, PAS yang bergabung dalam Perikatan Nasional (PN), memenangi 43 kerusi Parlimen manakala dalam PRN lalu, parti itu mengekalkan status quo di tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu. – 29 September, 2023