KUALA LUMPUR – Setiap kali menjelang bulan dan Hari Kemerdekaan mahu pun sambutan Hari Malaysia, nama Allahyarham Datuk Sudirman Arshad tidak pernah akan padam atau luput dalam ingatan kita semua.
Bagaimana mungkin? Lagu-lagu patriotik nyanyian beliau terutama Tanggal 31 Ogos dan Warisan seringkali berkumandang, menyalakan segenap rasa serta membangkitkan semangat patriotisme dalam jiwa.
Walhal, sudah 31 tahun penghibur hebat dan berjaya yang bergelar the singing-lawyer ini meninggalkan kita semua akibat penyakit misteri. Anehnya, beliau seolah-olah sentiasa ada bersama dengan kita dan tidak pernah pergi buat selama-lamanya.
Mengimbas semula legasi, pencapaian, kejayaan serta perjalanan seni muziknya, maka amat wajarlah Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) menganjurkan Konsert A Tribute to Sudirman sebagai tanda penghormatan kepada bintang lagenda yang tidak ada tolok bandingnya ini.
Konsert A Tribute to Sudirman yang diadakan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini, MPO ini menampilkan tiga penyanyi hebat tanah air iaitu Liza Aziz, Ernie Zakri dan Hazama serta diserikan dengan kehadiran seorang bakat baharu tanah air iaitu Arish Mikael.
Pemilihan keempat-empat artis ini juga bersebab dan bukannya diambil secara sembrono. Liza Aziz misalnya yang tarafnya sudah bergelar the living legend biarpun tidak memiliki killer album atau killer song adalah pemilihan yang tepat kerana pernah bekerja dengan Allahyarham Sudir sebagai penyanyi latar, bahkan terlibat di dalam Konsert Chow Kit Road pada 1986 yang mencatat sejarah apabila dihadiri 100,000 penonton.
Liza membawakan lagu Merisik Khabar, susunan muzik daripada Ilham Subari sebelum berduet dengan Ernie Zakri menerusi lagu Teriring Doa, Jauh Di Sudut Hati dan Terasing yang muziknya disusun Ahmad Che Muriz iaitu konduktor yang memimpin konsert pada malam itu.
Sekalung tahniah buat Ilham Subari kerana telah menghasilkan susunan muzik yang cukup indah bagi lagu Merisik Khabar hingga ia membantu Liza untuk mempersembahkan lagu tersebut dengan begitu baik sekali, walaupun suaranya pada malam itu sedikit serak.
Susunan muzik Luqman Aziz untuk lagu Senja Berulang Senja juga tidak mengecewakan dan Ernie telah menyampaikan lagu ini dengan sepenuh jiwa hingga emosinya sampai ke jiwa.
Ernie juga cemerlang membawakan lagu Inggeris kegemaran arwah Sudir seperti Smile, Big Spender dan Memory yang diangkat daripada muzikal Cats, hasil susunan muzik Gerard Salonga.
Big Spender yang mempunyai nuansa kabaret mungkin sudah menjadi makanan Ernie tetapi membawakan lagu broadway seperti Smile dan Memory, memang kehebatan vokalnya teruji, namun dia mampu melunaskan tugas tersebut dengan begitu baik sekali. Bahkan, penulis sebetulnya benar-benar kagum dengan persembahan vokalnya dalam lagu Memory.
Sering membawakan lagu arwah Sudir sebelum ini, pemilihan Hazama sememangnya tepat walau dia mengakui menyanyi bersama orkestra sangat sukar.
Hazama membawakan dua lagu solo iaitu Pelangi Petang dan Milik Siapakah Gadis Ini serta berduet dengan Arish Mikael dalam lagu Basikal Tua, Mat Disko, Punch Card dan Kul It!
Persembahan solo Hazama melalui lagu Milik Siapakah Gadis ini, susunan muzik daripada Ilham Subari lebih mengesankan berbanding Pelangi Petang. Bukan salah Hazama tidak berjaya menyampaikan lagu ini dengan baik, tapi ia juga berpunca daripada susunan muziknya yang kurang menjadi daripada Luqman Aziz.
Susunan muzik Luqman Aziz untuk lagu Basikal Tua, Mat Disko, Punch Card dan Kul It juga sekadar biasa-biasa sahaja. Namun, susunan muziknya untuk overture dalam lagu Chow kit Road, Merisik Khabar dan One Thousand Smiles tidak mengecewakan.
Menyentuh tentang Arish Mikael, bakat yang digilap daripada platform TikTok ini turut membawakan beberapa lagu medley lain, hasil susunan muzik Ilham Subari iaitu Apa Khabar Orang Kampung, Sepetang Di Pinggir Bukit, Anak Gembala dan Joget Kenangan Manis.
Tubuhnya genit, tapi suaranya bagus sekali dan mempunyai iras suara arwah Sudir. Sekali dengar, terasa seolah-olah seperti arwah Sudir yang menyanyi.
Keempat-empat penyanyi ini kemudian bergabung mempersembahkan lagu Tanah Ini Tanah ku, Warisan dan Tanggal 31 Ogos, susunan muzik daripada Teuku Omar sebelum ia diakhiri dengan persembahan lagu One Thousand Smiles (susunan muzik Gerard Salonga) dan Salam Terakhir (susunan muzik Ahmad Che Muriz).
Pada lagu One Thousand Smile, MPO dan DFP turut menyertakan klip video arwah Sudir sewaktu bertanding di Salem Asia Music Award di Royal Albert Hall pada 1989 yang mengangkatnya sebagai juara.
Namun, percubaan untuk mencetuskan hologram arwah Sudir sewaktu lagu Salam Terakhir dipersembahkan agak sedikit mengecewakan kerana ia gagal dilakukan dengan sempurna.
Apapun, konsert ini tetap berjaya mengembalikan nostalgia dan kehebatan seorang anak seni bernama Sudirman Haji Arshad yang bukan sahaja berjiwa patriotik tetapi seorang yang berjiwa rakyat! – 27 September, 2023