‘Kami tak akan halalkan…’, Caliph Buskers dakwa belum terima baki hutang RM8,000

Menurut kumpulan itu, mereka hanya menerima 20 peratus daripada jumlah yang dijanjikan sewaktu membuat persembahan di sebuah karvinal di Pulau Pinang hujung tahun lalu

Kumpulan Caliph Buskers pada pelancaran lagu baru berjudul Inspirasi di TTDI hari ini. - Gambar Scoop/Azim Rahman, 26 September, 2023

PETALING JAYA – Kumpulan Caliph Buskers mendakwa mereka hanya menerima 20 peratus daripada bayaran persembahan yang dijanjikan di sebuah karnival yang berlangsung di Pulau Pinang, tahun lalu.

Caliph Buskers yang dianggotai Azmi, Fendy, Zaki dan Nirwan ditawarkan untuk membuat persembahan di karnival tersebut dengan bayaran RM10,000.

Caliph Buskers dianggotai Azmi, Fendy, Zaki dan Nirwan. – Gambar Scoop/Azim Rahman, 26 September, 2023

Bagaimanapun, mereka mendakwa tidak mendapat bayaran penuh untuk persembahan tersebut dan individu yang berurusan dengan mereka juga sudah tidak dapat dihubungi.

“Isu hutang ini sehingga sekarang belum selesai lagi. Mereka baru bayar 20 peratus maknanya berbaki RM8,000 lagi. Kali terakhir kami cuba hubungi pihak mereka gagal.

“Program mereka boleh dikatakan gagal. Kerana ketika ia berlangsung, cuaca juga tidak menentu dan kurang mendapat sambutan. Jadi mereka kata tak ada duit nak lunaskan bayaran kami.

“Tetapi itu sebenarnya bukan masalah kami, tetapi pihak penganjur. Kami cuba untuk faham situasi ketika itu. Tetapi hutang tetap harus dibayar. Kami takkan halalkan jika mereka tidak membayar baki bayaran penuh,” kata Azmi mewakili Caliph Busker ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaru mereka yang berjudul Inspirasi.

Tambah Azmi lagi, sehingga kini mereka masih menunggu dan bersangka baik bahawa pihak penganjur sedang melarikan diri buat sementara waktu untuk mengumpul duit dan membayar semula kepada mereka.

Ditanya sama ada mereka mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur berkenaan, kata Azmi, mereka ada bertanya kepada kenalan yang arif tentang undang-undang terlebih dahulu.

“Kami ada juga bertanya kepada kenalan soal mengambil tindakan undang-undang. Namun nasihat mereka, tindakan ini mungkin melibatkan kos yang lebih tinggi.

“Seandainya syarikat penganjur itu diisytiharkan muflis, kami tidak akan mendapat apa-apa bayaran,” katanya.

Kongsi Azmi lagi, sebelum ini apa-apa tawaran persembahan diterima, mereka akan mengambil wang pendahuluan terlebih dahulu tetapi tidak berbuat demikian untuk persembahan kali ini.

“Ketika itu kami memang tiada tawaran untuk membuat persembahan. Individu berkenaan pula seolah-oleh meminta tolong daripada kami.

“Dia berjanji sebelum mula membuat persembahan mereka akan bayar. Dia juga sediakan kenderaan, cuma duit minyak kami keluarkan sendiri.

“Cara dia tu betul-betul macam dia akan bayar. Tetapi tak sangka pula akhirnya jadi begini,” jelasnya.

Kumpulan ini turut mempersembahkan lagu baru mereka berjudul Inspirasi di majlis pelancaran itu. – Gambar Scoop/Azim Rahman, 26 September, 2023

Menyentuh soal kerjaya seni mereka, Caliph Buskers kini muncul dengan lagu baharu berjudul Inspirasi yang dicipta Azmi sendiri dan lirik ditulis oleh Datuk Haji Reduan Yusof.

Lagu Inspirasi dihasilkan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua beberapa tahun lalu tetapi baru kini lagu itu dilancarkan.

“Lagu ini saya buat ketika PKP yang lalu. Proses rakaman awal pun dibuat di rumah sahaja. Datuk Reduan ada berikan saya lirik, dan dia minta saya jadikan sebuah lagu yang boleh beri inspirasi kepada orang lain.

“Lagu ini dicipta supaya dapat naikkan semangat mereka yang mendengar agar jangan berhenti berjuang walau apa pun masalah yang melanda dalam hidup,” katanya.

Lagu Inspirasi itu diterbitkan oleh Rubbertapper Production House Sdn Bhd dengan kerjasama Masyur-Universal Music sebagai pengedar.

Muzik video lagu ini pula diarahkan pengarah terkenal, Amie Maziah yang turut menampilkan beberapa personaliti Orang Kurang Upaya (OKU) seperti Senator Datuk Ras Adiba Radzi serta atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi. – 26 September 2023